Rencana

Kaluvarga Malaysia – Edry Faizal

“Warganegara” dan “keluarga” berkongsi satu perkataan, perkataan sanskrit, varga. Varga nagara bermaksud menjadi ahli kepada sebuah negara manakala kalu varga bermaksud ahli keluarga.

Alangkah molek jika setiap kali disebut “warganegara” disemat juga dalam ingatan perkataan “keluarga”. Biar sebati dalam hati bahawa menjadi warganegara tanah ini bermakna menjadi sebahagian daripada keluarga Malaysia.

Sudah resmi keluarga, ada yang terkait dengan pertalian darah, ada melalui ‘kontrak sosial’ seperti perkahwinan. Untuk menjamin kerukunan keluarga, bukan saja perlu saling kasih-mengasihi dan cinta-mencintai. Tetapi juga menerima sepenuh hati bahawa semua kini satu keluarga dan bergerak ke hadapan dengan hakikat itu. Barulah dalam kehidupan sehari-hari yang berat sama dipikul dan ringan sama dijinjing.

Perbezaan sesama ahli keluarga bukan alasan membenci, tetapi menambah warna-warni dalam hidup berkeluarga. Perbuatan adu-domba bagi menimbulkan rasa benci sehingga ‘bercekau’ sesama ahli keluarga mestilah dijauhi. Perbuatan yang sedemikian hendaklah dikecam dan dipandang buruk.

Jika dikatakan antara kelebihan keluarga besar Malaysia ialah kewujudan berbilang etnik, maka janganlah perkara itu sekadar mengulang sebut skrip Tahun Melawat Malaysia. Hendaklah jujur menerima hakikat Malaysia ini terdiri daripada etnik Melayu, Orang Asal, Tionghua, India, Iban, Bidayuh, Melanau, Orang Ulu, Bisaya, Kedayan dan banyak lagi.

Sekiranya kepelbagaian itu kekuatan, mengapa harus menyempitkan seolah Malaysia ada hanya ada dua kaum saja, Melayu dan bukan Melayu atau bumiputera dan bukan bumiputera. Akhirnya dunia terbahagi kepada dua, ‘kami’ menghadapi ‘yang lain-lain’.

Sebut saja ‘bumiputera’, apa yang terlintas di fikiran? Saya merasakan ‘bumiputera’ merupakan istilah menarik untuk direnung penggunaannya sebagai alat propaganda. Sebagaimana perkataan “setia” yang pernah dijadikan alat propaganda oleh Tok Mat ketika zaman Dr. Mahathir.

Bumiputera kini sering digunakan bertukar ganti dengan istilah Melayu. Sehingga dasar untuk menghapuskan amalan dikotomi atau membeza-bezakan bumiputera dan bukan bumiputera dalam pembangunan bangsa, boleh dijadikan modal propaganda kononnya mahu menghapuskan Melayu, keistimewaan mereka dan agama Islam.

Perlembagaan Persekutuan tidak pernah menyebut pun perkataan bumiputera, jauh sekali takrifannya secara terperinci. Pilihan lain kita ada untuk mendalami makna bumiputera ialah dengan mengunjungi laman portal UiTM , universiti yang seringkali dilaungkan sebagai ‘benteng bumiputera’. Di situ kita akan menemui takrifan berikut:

Semenanjung
Jika salah seorang ibu ATAU bapa calon adalah seorang Melayu yang beragama Islam/ Orang Asli seperti mana yang ditakrifkan dalam Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan; maka anaknya adalah dianggap seorang Bumiputera.

Sabah
Jika bapa calon adalah seorang Melayu yang beragama Islam/ Peribumi Sabah seperti mana yang ditakrifkan dalam Perkara 161 A (6) (b) Perlembagaan Persekutuan; maka anaknya adalah dianggap seorang Bumiputera.

Sarawak
Jika bapa DAN ibu calon adalah seorang Peribumi Sarawak seperti mana yang ditakrifkan dalam Perkara 161 A (6) (a) Perlembagaan Persekutuan; maka anaknya adalah dianggap seorang Bumiputera.

Sejujurnya, berapa ramai tatkala menggunakan atau mendengar perkataan bumiputera, terlintas di fikirannya ahli keluarga Malaysia yang berketurunan Temiar atau Kadayan? Ketika menggunakan istilah itu terlintas tentang saudara-saudara se-bumiputera yang bukan bergama Islam?

Maka tidak aneh ketika menyertai satu sesi perbincangan mencari makna Bangsa Malaysia yang dianjurkan Projek Dialog, seorang saudara berketurunan Orang Asli meluahkan rasa senaknya melihat naratif penduduk asal tanah air ini hanya seputar Melayu dan Islam.

Dia seorang bumiputera yang rasa terasing dengan wacana bumiputera. Sekian banyak juga luahan tentang bumiputera yang rasa dipinggirkan oleh bumiputera lain.

Barangkali sehingga bahagian ini, ada yang merasakan dirinya nampak permainan saya. Tidak sabar mahu menuduh saya sedang menyebarkan propaganda supaya warganegara Malaysia hidup seperti keluarga dan hapuskan pemikiran ‘kami’ menghadapi ‘mereka’.