Berita

Kereta seludup: Hukum dalang, bukan pembeli

KUALA LUMPUR, 9 MEI: Pihak berkuasa sepatutnya menangani masalah penyeludupan kereta dengan memburu dalang yang terlibat, bukan menghukum pembeli yang tertipu, kata Ahli Parlimen DAP Serdang Ong Kian Ming.

“Saya dan (Ahli Parlimen DAP Seputeh) Teresa Kok terima banyak aduan daripada pengusaha kereta terpakai yang membeli kereta di Langkawi yang memiliki rekod kastam dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang sebenarnya palsu.

“Mereka hanya dapat tahu tentang perkara itu selepas terima surat daripada kastam yang meminta mereka membayar eksais dan cukai import, sebahagiannya mencecah ratusan ribu ringgit,” katanya dalam sidang media bersama Teresa di ibu pejabat DAP di sini pagi tadi.

Katanya lagi, kastam juga memberikan kata dua kepada mereka, sama ada membayar eksais dan cukai dengan potongan 50 peratus atau mereka akan merampas kereta mereka.

“Ini sangat tidak adil, seperti menghukum mangsa, bukannya dalang yang melakukan penipuan,” katanya lagi.

Dalam kenyataan pada 21 Mac 2013, Jabatan Kastam Diraja Malaysia memaklumkan sebanyak 368 kereta yang didaftarkan di Langkawi dikesan menggunakan borang pengisytiharan kastam palsu.

Kian Ming meminta agar kastam tidak meneruskan rancangan merampas kenderaan tersebut, sebaliknya menunggu sebuah siasatan menyeluruh daripada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Kami menggesa kastam agar tidak merampas kenderaan mereka sebelum siasatan menyeluruh polis dan juga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung borang pengisytiharan kastam palsu selesai,” katanya lagi.

Beliau turut memaklumkan, polis dan SPRM setakat ini masih belum memberi sebarang maklum balas terhadap laporan yang dibuat pengusaha kereta terpakai itu.

Dalam sidang media sama, mereka turut mendesak agar polis membuat siasatan menyeluruh dan memaklumkan kepada umum perkembangan kes pembunuhan Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman dan Cukai Dalam Negeri) Datuk Shaharuddin Ibrahim yang disyaki mempunyai kaitan dengan sindiket penyeludupan kereta di Langkawi. – Roketkini.com