Berita

‘Main Puteri’ di Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR, 9 MEI – Wargakota Kuala Lumpur akan berpeluang menyaksikan persembahan Main Puteri dalam bentuknya yang asli oleh kumpulan yang dibawakan khas dari Tanah Merah, Kelantan, hujung minggu ini.

Main Puteri adalah suatu jenis persembahan tradisional dengan tujuan perubatan yang mengandungi tarian, syair, dan ritual penyembuhan yang menjadi amalan masyarakat Kelantan sejak zaman-berzaman.

Permainan ini menampilkan watak Tok Puteri, sebagai penyembuh, dan Tok Minduk yang berperanan sebagai pemuzik utama.

Kumpulan yang dibawa ke ibukota oleh PUSAKA, di bawah pimpinan budayawan Eddin Khoo (gambar), kali ini akan menampilkan dua tokoh terkenal, iaitu Tok Puteri Che Mohd Zailani Che Moh dan Tok Minduk Pak Su Hok.

artist_bio_eddin_khooEddin turut dijadualkan untuk menyampaikan syarahan berkaitan “yang halal, yang haram, dan yang meragukan dalam politik kebudayaan tradisional Malaysia” sebelum persembahan berlangsung.

Main Puteri merupakan suatu amalan persembahan yang penuh kontroversi kerana didakwa mempunyai unsur khurafat, serta diharamkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan.

Main Puteri pernah diangkat sebagai tema besar dalam filem ‘Bunohan’ arahan Dain Said yang mendapat pujian di Festival Filem Toronto selain menggondol lima anugerah di Festival Filem Malaysia ke-25.

Dalam tradisi kebudayaan Kelantan, banyak orang mempercayai bahawa sesuatu penyakit itu adalah disebabkan gangguan, kehilangan semangat atau ketidakseimbangan ‘angin’ dalam badan. Main Puteri bertujuan untuk memulihkan hal-hal tersebut.

Main Puteri anjuran PUSAKA akan berlangsung pada hari Ahad, 11 Mei, di Black Box, Publika Solaris Dutamas.

Syarahan oleh Eddin Khoo dijadualkan bermula pada jam 4 petang, manakala persembahan Main Puteri dijadual bermula pada jam 8.30 malam.

Masuk adalah percuma. – Roketkini.com

Embed video: http://www.youtube.com/watch?v=G_oIJX369kY