Berita

Tiada siasatan 13 Mei: Cubaan menyembunyikan perkara sebenar?

SHAH ALAM, 9 MEI: Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang kesal dengan tindakan kerajaan yang sehingga hari ini masih tidak melakukan sebarang siasatan terhadap tragedi hitam 13 Mei 1969.

Bagi beliau, keengganan melakukan siasatan menunjukkan seolah-olah kerajaan cuba menyembunyikan sesuatu berhubung peristiwa itu.

“Siasatan itu bukan bertujuan menghukum tapi supaya rakyat mengetahui siapa menjadi dalang dan mengapa ia dilakukan, kerana akibat dari peristiwa tersebut telah menyebabkan banyak rakyat kehilangan nyawa serta harta benda.

“Sudah 45 tahun, walaupun telah beberapa kali dibangkitkan, masih tidak ada sebarang siasatan dilakukan. Apakah ini merupakan cubaan sebilangan pihak menyembunyikan perkara sebenar?” katanya dalam forum “13 Mei: Rekonstruksi Sejarah dan Pembinaan Malaysia Pasca Rasisme” di Shah Alam, malam tadi.

Ahli Parlimen DAP Gelang Patah itu berkata, satu lagi perkara yang menjadi tanda tanya adalah secara tiba-tiba munculnya versi baru kejadian 13 Mei dengan mengaitkan dirinya sebagai antara dalang pencetus huru-hara.

“Lebih 40 tahun tidak sesiapa pun yang mengaitkan saya dengan peristiwa ini, tapi selepas Tsunami Politik tahun 2008, tiba-tiba saja ada beberapa pihak melakar semula kejadian itu dengan mengatakan saya terlibat.

“Antara yang didakwa mereka adalah saya kencing di hadapan rumah Menteri Besar Selangor, Datuk Harun Idris; (bahawa saya) ada dalam perarakan di Kuala Lumpur dan merupakan salah seorang yang mengeluarkan kata-kata kesat ketika itu.

“Saya telah beberapa kali menegaskan bahawa saya sama sekali tidak pernah terlibat dan tidak berada di Kuala Lumpur waktu itu,” ujarnya.

Kit Siang menjelaskan bahawa pada 10 Mei beliau bertanding kali pertama di kerusi Parlimen Kota Melaka dan keesokannya, pada kira-kira jam 4 petang, 11 Mei, majlis keramaian diadakan di Kota Melaka setelah mengetahui beliau memenangi kerusi Parlimen.

Pada pagi 13 Mei, beliau bertolak ke Kota Kinabalu untuk membantu calon bebas berkempen di sana kerana pilihanraya di Sabah dan Sarawak diadakan seminggu selepas Semenanjung dan hanya pulang semula ke Kuala Lumpur pada 18 Mei melalui pesawat dari Singapura.

“Semasa berkempen di Sabah pada 14 Mei, saya diarah dan dihalau pulang ke Kuala Lumpur oleh pemerintah di sana kerana mengkritik Ketua Menteri Tun Datuk Mustapha. Tapi waktu itu saya masih muda, jadi saya lawan dan terus berkempen.

“Namun, saya bernasib tidak mengikut arahan supaya pulang, kerana waktu itu orang-orang Tun Mustapha telah menunggu di lapangan terbang untuk menyerang saya.

“Kalau saya balik ke Kuala Lumpur mungkin saya telah habis dan tidak dapat berdiri hingga sekarang,” katanya. -Roketkini.com