Sastera

CERTOT: R.I.P

Urat leher Halim berdawai-dawai menyembul keluar. Wajah tampannya bertukar ungu. “Apalah yang kau sibukkan sangat tentang kematiannya?”

“Dia itu jahat. Dia kafir. Apa yang kau mahu sedih dan tangiskan?” tambah Halim penuh emosi. Rubi sekadar membalas pekik Halim dengan senyum.

“Aku tidak tahu ke mana dia selepas matinya. Malah aku tidak mahu tahu. Itu bukan urusan engkau atau aku. Namun aku fikir tuhan itu masih beralasan untuk mempertimbangkan syurga buat dia,” balas Rubi tegas.

Halim mencebik.

“Kau kenal siapa Halimatu Saadiah?” soal Rubi.

“Kau tahu apa insan yang kau cela percuma ke neraka itu perjuangkan untuk dia?” jerkah Rubi lagi menambah sesak emosi Halim.

Halim tercegat kaku.

“Si kafir yang kau cerca itu sewaktu hayatnya pernah perjuangkan hak bertudung bagi sekumpulan pelajar Muslim.”

Halim sugul tidak membalas.

“Tahukah kau bahawa mendiang yang kau benci itu pernah memperjuangkan nasib seorang menteri besar Melayu yang haknya secara jahat telah dirampas. Dia senantiasa berada di sisi seorang bapa yang terus-terusan bersuara demi sebuah keadilan buat roh anaknya yang terbunuh misteri.”

Peti suara Halim seakan tidak berfungsi. Telinganya nanah teruk menadah ayat-ayat yang keluar dari mulut Rubi.

“Hah engkau ni. Kau penghuni syurga yang suci bukan. Lalu apa jasa dan bakti yang kau pernah buat melebihi mendiang yang dah pergi?”

* Tulisan ini tribute buat mendiang Karpal Singh.

V.I.P

Kuyup baju dan seluar Fadli. Wajahnya resah, pijar dikilati peluh. Menara jam depan Bangunan Tabung Haji memberi amaran terik mentari. 36º celcius. Hari Sabtu jam 3.30 petang. Jalan teruk kesesakan. Telinga menjerit sakit dengan bingit hon sini sana.

“Ehhhh ! Bunyi siren apa yang kuat berbunyi tu Mama?” tanya Fadli tiba-tiba.

“Ambulans barangkali tu Fadli,” jawab Mama ringkas setelah 3 jam stuck dalam Kancil tanpa aircond.

“Ambulans?” jerit Fadli teruja sambil melompat ke tampat duduk belakang.

Pada jarak 500 meter kelihatan ‘kuda putih’ polis membelah lautan sesak kenderaan selamba. Fadli semakin minat memerhati. Di belakangnya ada dua buah lagi. Fadli teringat kata arwah ayah. Motor yang dinaiki polis trafik itu kita panggil kuda. “Kuda putih, bukan kuda kepang tau.”

“Ketepi ketepi, sila beri laluan.” Jerit polis. Bingit bunyi siren makin kuat.

“Polis lah, Mama, bukan ambulans.”

“Tepi, tepi, ke tepi!” sergah polis pada Mama.

Di belakang kelihatan 2 buah kereta Perdana hitam. Diikuti sebuah lagi kenderaan mewah buatan Eropah. Semuanya bercermin gelap.

“Itu bukan ambulans lah, Mama.”

“Bukan…” jawab Mama cepat.

“Itu bukan ambulans, Fadli, tapi V.I.P.”

“Apa tu, Mama? tanya Fadli.

“V.I.P yang lalu tadi mungkin pemimpin negara. Mungkin ahli parlimen atau mungkin saja sultan atau raja,” jelas Mama.

Fadli makin bingung.

“Kalau begitu, mengapa pula tadi mereka sergahkan Mama?”

“Bukankah mereka menyantuni saya dan menghargai Mama. Mereka menyayangi ibu tunggal dan anak yatim seperti kita kan Mama?”