Berita

PAS Teluk Intan: Undi DAP, tolak politik kotor UMNO

TELUK INTAN, 14 MEI: PAS menyeru pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan agar tidak terpedaya dengan mainan kotor UMNO dan terus memberi sokongan penuh kepada siapa saja calon yang diletakkan DAP nanti.

Mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Changkat Jong Mohd Anuar Sudin berkata, UMNO tidak mustahil mengulangi taktik penipuan kerana begitu terdesak untuk membuktikan bahawa partinya masih relevan walaupun semakin ditolak seluruh pelusuk negara.

“Antara kempen jahat UMNO pada PRU lalu di sini adalah mengeluarkan risalah fitnah mendakwa DAP sebagai parti komunis dan anti-Melayu.

“Kita juga mempunyai bukti bahawa mereka meletakkan ahli-ahli UMNO sebagai petugas kira undi SPR dan memindahkan pengundi dari Pasir Bedamar ke Changkat Jong. Satu lagi adalah melalui sogokan wang.

“Atas sebab itu, kita (PAS Teluk Intan) akan memulakan gerak kerja awal sebaik saja calon diumum untuk memberi penerangan pada pengundi dan menangkis taktik jahat UMNO, sekaligus memenangkan DAP serta Pakatan sekali lagi,” katanya yang juga Bendahari PAS Teluk Intan.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Perak Khairul Anuar Ismail pula menyarankan kepada pengundi agar tidak termakan agenda kurang jelas UMNO berkenaan hudud.

“Hudud ini sememangnya bukan agenda Pakatan, tapi persendirian. UMNO sendiri tidak memahami apa itu hudud dan kini tiba-tiba pula beria mahu ia dilaksana. Ini jelas satu lagi rancangan untuk memporak perandakan PAS dan DAP.

“Tapi saya cukup yakin seluruh pengundi disini mengetahui bahawa kebersamaan antara kami cukup erat dan kuat, ia tak mungkin dipecahkan melalui masalah itu,” ujarnya ketika ditemui di Markas PAS Padang Tembak, Teluk Intan.

Tambah beliau, antara kempen yang akan dijalankan PAS pada PRK kali ini selain penerangan mengenai taktik keji UMNO adalah merangkumi isu semasa seperti Akta Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), kegagalan menunaikan pelbagai janji dan lain isu yang menyusahkan rakyat.

Selain itu, katanya, isu tempatan seperti penurunan harga kelapa sawit yang menghalang aktiviti perladangan, kekurangan prasarana, peluang pekerjaan dan Lesen Pendudukan Sementara (TOL) juga akan dibangkitkan. -Roketkini.com