Budaya

Bingkai dan gambar Siar, Daur Baur – Zikri Rahman

Malam itu, malam Khamis tanggal 8 Mei 2014, dengan dukungan teman-teman dari The Weekend Session dan Frinjan serta Rumah Titi yang menjadi tuan rumah menganjur bersama tayangan dokumentari khas Siar, Daur Baur – perihal perjalanan kugiran Pandai Besi, kugiran yang turut ditunjangi dua ahli ‘akar’ kugiran Efek Rumah Kaca, iaitu Akbar dan Cholil.

Saya bukanlah arif tentang proses bermuzik, apatah lagi hal membuat dokumentari. Tetapi, bak kata pepatah, “besar tapak tangan, nyiru kami tadahkan,” lalu saya terima pelawaan untuk menjadi pemudah bicara diskusi pada malam itu. Semuanya kerana satu tarikan – kugiran ini punya tekad politik yang utuh, dari soal kritik ekonomi dan budaya hinggalah untung nasib tahanan politik.

Dari lapan orang ahli Pandai Besi, hanya tiga yang hadir untuk tayangan pada malam itu, iaitu Oppie, Akbar dan Asra. Ahli-ahli yang lain tetap di hotel kerana mereka perlu menempuh jadual padat sepanjang empat hari mendatang. Turut hadir, tuan pengarah dokumentari Siar, Daur Baur sendiri, Nada Putra.

Sekitar Daur Baur

Maksud Daur Baur ini jika diterjemah langsung ke dalam Bahasa Melayu ertinya kitar semula (daur) dan campur (baur), rentetan tentang bagaimana kugiran Pandai Besi itu sendiri tertubuh.

Judul sembilan lagu di dalam album ini sendiri adalah terus dari dua album Efek Rumah Kaca terdahulu yang diberikan nuansa susunan muzik yang baru dengan “pelangi” anggota anggota yang akhirnya membentuk “bunyi” Pandai Besi, tidak salah jika dikatakan seorang teman – “Pandai Besi ini Efek Rumah Kaca on Steroid!”

Berbalik kepada soal dokumentari Siar, Daur Baur yang pertama kali ditayangkan di Malaysia. Dokumentari berdurasi selama satu jam setengah ini adalah perjalanan kugiran Pandai Besi ke studio musik tertua Indonesia, Lokananta, yang terletak di Solo, Jawa Tengah (kota Solo, bagi Nada Putra, sedang tenat dimamah birokrasi pemerintah sedari zaman Orde Lama hinggalah bersilih ganti ke Orde Baru).

Dengan keupayaan hanya tiga jurukamera dan bertungkus-lumus selama dua hari pada tanggal 10 Mac 2013 untuk proses rakaman secara langsung, manakala 11 Mac 2013 untuk proses “overdub”, adalah sesuatu yang melelahkan kerana hambatan masa dan ruang.

Suasana magis Studio Lokananta yang mewah sejarah dipertonton dalam keadaan paling sederhana – cukup dengan video minimalis perjalanan dan persembahan langsung serta kelipan lampu yang disusun berdentum mengikut rentak lagu.

Menurut Nada Putra, tidak ada apa-apa magis diperlukan. Ambiens Lokananta itu sendiri adalah ruang magis – di zaman kegemilangannya suatu masa dulu ia diangkat tinggi setaraf Studio Abbey Road kerana kemajuan kelengkapan muziknya.

Sejarah Studio Lokananta ini melimpah; lebih 40,000 rakaman dan piring hitam, dari getaran gamelan ke rancak keroncong hinggalah gegak-gempita ucapan Soekarno ketika Persidangan Afro-Asia di Bandung. Semuanya tidak terselamat dari debu arus masa. Hanya kadang-kadang, contohnya seperti Hari Kaset Sedunia bulan lalu, ia terisi dengan mereka yang entusias meraikannya di ruang Lokananta.

Kesedaran tentang perlunya menyimpan khazanah besar, yang boleh sahaja dikatakan bukan milik Indonesia semata, malahan juga milik sejarah muzik Nusantara, baru saja menguntum dengan wujudnya gerakan seperti ” Save Lokananta” yang bermula di alam maya, kata Asra, pemain piano Pandai Besi.

Bulan bintang malam itu menjadi saksi catatan dokumentasi yang saya kira hanyalah cebisan dari peristiwa panjang dan rumit selama lapan bulan dengan kekerapan dua kali seminggu latihan yang sempat dirakam untuk proses album dokumentari ini. Menurut Nada Putra, rakaman langsung setiap lagu itu sendiri dirakam ulang tiga hingga empat kali untuk hasil terbagus.

Mencanai Besi

Melihat semula sejarah, di dinding dinding kota Paris, saat berlaku revolusi di Perancis tahun 68, saat mahasiswa mahasiswi kota Perancis mengusir keluar tiran Charles De Gaulle, antara kata kata yang diconteng di dinding adalah “boredom is counter-revolutionary.”

Dan mungkin atas kata itu, Pandai Besi tekad menjenguk semula musik yang pernah disusun oleh Efek Rumah Kaca, sekaligus mentafsir semula konteks musiknya sendiri. Benar, untuk kekal waras adalah akhirnya untuk berani menjelajah sisi-sisi yang lain.

Seperti tutur Akbar pada sesi perbincangan dokumentari ini, Efek Rumah Kaca ketika ini sedang berikhtiar menyusun album ketiga. Tetapi mereka berdepan kesulitan kerana faktor kesihatan Adrian serta kekangan jarak Cholil yang ketika ini sedang menyambung pelajaran di Amerika. Namun, meminjam kata Poopie, “nilai artistik adalah sesuatu yang tidak pernah memuaskan.” Nafsu kreatif tidak lagi dapat diempang.

Mengakui semuanya berlaku dengan sekelip mata, dari idea untuk membiayai pembikinan album sekaligus merakam dokumentari ini sendiri melalui kaedah “crowdfunding” adalah langkah demokratik untuk membudayakan keberdikarian serta semangat partisipatif dalam proses berkarya.

Proses berkarya seni itu sendiri, bagi Asra, “adalah tolok ukur kemajuan satu bangsa.” Boleh dikatakan Pandai Besi terzahir dari fitrah manusia yang satu ini.

Tidak banyak yang dikongsi tentang proses bermuzik pada malam itu kecuali ingatan dari Akbar tentang proses penulisan lirik lagu-lagu Efek Rumah Kaca yang katanya dipandu oleh Cholil atas minatnya menggeluti bacaan saban hari.

Dua nama disebut Akbar pada malam itu yang memberi lenggok bait lirik Efek Rumah Kaca sekaligus Pandai Besi itu sendiri, iaitu Sapardi Djoko Damono dan Widji Thukul.

Yang terutama dalam perjalanan, jika tidakpun belum lagi boleh dipanggil pengembaraan, kugiran Pandai Besi ke Lokananta ini adalah sisi manusiawi yang terakam dalam dokumentari – dari keletah anak kecil Cholil yang satu hari nanti mungkin menuai benih seni mereka, sampai kepada lirik lagu judul “Menjadi Indonesia”, “masih ada cara menjadi besar” yang secara langsung boleh disimpulkan kepada iltizam kugiran ini untuk menjejak takdir kebesarannya.