Rencana

Erti kemenangan Pakatan di Bukit Gelugor dan Teluk Intan

Pilihanraya Kecil (PRK) Bukit Gelugor dan Teluk Intan yang akan diadakan beberapa minggu lagi amat penting, terutama bagi mengekalkan laungan bantahan ke atas dasar-dasar dan perlakuan kerajaan Barisan Nasional.

Kita sedar, pentadbiran BN baik di peringkat negeri mahu pun pusat tidak memiliki satu pun idea yang jelas bagi menangani masalah rakyat. Malah, pada banyak masa mereka seakan tidak tahu ke mana arah tuju kapal bernama ‘Malaysia’ ini.

Suara-suara pelampau dibiar bermaharajalela. Tiada sebarang tindakan mahu pun teguran terhadap Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) misalnya, yang dengan angkuh melabel masyarakat Cina sebagai ‘penceroboh’.

Suara sebegitu tentunya minoriti sahaja. Namun dengan kelantangan yang dibiarkan berleluasa, kenyataan-kenyataan jahat mereka seolah-olah mewakili orang Melayu di negara ini.

Bagaimana pula dengan masalah yang terus-terusan menghenyak bahu rakyat, iaitu kos sara hidup yang meningkat. Sudahlah kerajaan seperti pejam mata sahaja dengan kenaikan pelbagai harga barang, mereka ingin pula menambah beban dengan sistem Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tahun hadapan. Alasannya cuma satu – untuk menambah isi poket kerajaan yang kosong akibat ketirisan.

Di Bukit Gelugor, perjuangan ‘Harimau Jelutong’, terutama keadilan di bawah undang-undang dan prinsip demokrasi dalam kenegaraan, perlu diteruskan. Ini semua adalah hal-hal yang sentiasa ditentang BN. Pemergian tragik Karpal Singh bulan lalu mesti dijadikan pembakar semangat agar obornya terus menyala.

Dan kita semua tentunya tidak lupa bagaimana pentadbiran Pakatan Rakyat di Perak dijatuhkan BN pada tahun 2009 dan bagaimana Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) ketika itu, V Sivakumar, dihalang daripada duduk di kerusi speaker dan ditarik keluar oleh pengawal keluar dari dewan.

Insiden itu adalah pengkhianatan besar BN kepada pengundi di negeri itu, termasuk rakyat Teluk Intan tentunya, yang telah memilih Pakatan Rakyat secara sah.

Justeru, amat penting untuk pengundi terus memberikan sokongan kepada Pakatan Rakyat pada PRK kali ini. Selain mengekalkan momentum menuju Pilihanraya Umum ke-14, rakyat perlu sekali lagi menyatakan dengan lantang, “BN, kami tidak pernah setuju dengan kamu!” – Roketkini.com