Berita

Poster ‘Hudud 2020’ guna logo kerajaan negeri Pulau Pinang secara jahat

GEORGE TOWN, 16 MEI – Poster bertulis ‘Hudud for all in 2020’ (Hudud untuk semua pada tahun 2020) tidak ada kena mengena dengan kerajaan negeri Pulau Pinang, malah poster tersebut menyalahgunakan logo kerajaan negeri.

Slogan tersebut dilihat untuk kali pertama sewaktu hari penamaan calon pilihanraya kecil Parlimen Bukit Gelugor Isnin lalu, dicetak pada sepanduk yang dibawa oleh penyokong-penyokong calon bebas Mohamed Nabi Bux.

Bercakap kepada media, EXCO kerajaan negeri, Jagdeep Singh Deo berkata tindakan menyalahgunakan logo kerajaan negeri oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab ini adalah menyalahi undang-undang.

“Poster tersebut tiada kaitan dengan kerajaan negeri Pulau Pinang dan laporan polis akan dibuat. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu menurunkan kesemua poster ini,” katanya dilaporkan Bernama.

Setakat petang semalam puluhan poster tersebut yang digantung sekitar kawasan Gelugor dan Paya Terubong telah diturunkan petugas-petugas DAP.

Propaganda hudud tersebut menjadi modal kempen utama calon bebas, Nabi Bux yang tempoh hari mengaku merupakan seorang ahli PAS; namun PAS membuktikan sebaliknya.

Menurut Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar nama Mohamed Nabi Bux tidak terkandung dalam sistem keahlian PAS.

“Dakwa sebagai ahli PAS adalah pembohongan semata-mata dan melalui carian yang dilakukan, kita mendapati beliau merupakan ahli Umno,” ujarnya.

PRK Bukit Gelugor mempertemukan anak ketiga tokoh DAP mendiang Karpal Singh, Ramkarpal dengan dua orang calon bebas dan seorang calon dari Parti Cinta Malaysia,  Huan Cheng Guan. Dalam PRU ke-13, Huan tewas di Parlimen Batu Kawan apabila menerima sekadar 1,801 undi dan hilang wang deposit.

Hari mengundi PRK Bukit Gelugor dijadual pada 25 mei ini. – Roketkini.com