Berita

Komitmen Dyana terhadap Bangsa Malaysia membimbangkan UMNO

KUALA LUMPUR, 18 MEI – Serangan UMNO terhadap Dyana Sofya, calon DAP bagi pilihanraya kecil Teluk Intan, adalah tanda-tanda bahawa parti tersebut gerun untuk berdepan dengan beliau di Parlimen kelak.

Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Shahrizat Jalil telah mendakwa bahawa pencalonan Dyana hanyalah bersifat kosmetik dan anak gadis berusia 27 tahun itu dijadikan boneka DAP.

Mengulas komen tersebut, Naib Pengerusi Kebangsaan DAP Teresa Kok menyifatkan serangan Shahrizat tersebut sebagai serangan yang sememangnya biasa ditujukan terhadap orang Melayu yang menyertai DAP atau bertanding atas tiket parti ini.

“Namun UMNO pastinya gerun dengan dua sifat yang dipamerkan Dyana – keberanian beliau dan komitmennya untuk mengutamakan bangsa Malaysia,” ujar Teresa dalam satu kenyataan.

“Jika dilantik sebagai Ahli Parlimen Teluk Intan, beliau pastinya akan menjadi antara Ahli Parlimen Pembangkang yang paling digeruni UMNO di Parlimen,” tambah Ahli Parlimen DAP Seputeh itu lagi.

Menurut beliau lagi, pertarungan melawan politik perkauman UMNO memerlukan momentum berterusan, maka kemenangan DAP di Teluk Intan adalah sangat penting.

“Kemenangan Dyana akan turut menjadi kemenangan bagi konsep Malaysian first” ujar Teresa lagi.

Sebagai seorang graduan UiTM, Dyana pernah dilabel sebagai pengkhianat dan diserang bertalu-talu apabila mencadangkan supaya sebuah institusi seperti universiti itu dibina bagi membantu golongan miskin dari kalangan bukan-Bumiputera pula.

PRK Parlimen Teluk Intan akan bermula dengan penamaan calon esok, 19 Mei, dengan hari mengundi dijadualkan pada 31 Mei.

Kerusi Parlimen Teluk Intan kosong setelah wakil rakyatnya, Seah Long Peng, juga daripada DAP, meninggal dunia akibat barah pada 1 Mei lalu. – Roketkini.com