Berita

UiTM bukan UMNO punya – Dyana

TELUK INTAN, 19 MEI – Apakah dengan menjadi mahasiswa Universiti Teknologi MARA, seseorang itu secara langsung menjadi ahli UMNO?

Itulah persoalan yang dilontarkan Dyana Sofya, calon DAP di pilihanraya kecil Teluk Intan, dalam responnya terhadap serangan daripada Ahli Parlimen Muar Datuk Razali Ibrahim.

Razali hari ini mencabar Dyana untuk menyatakan pendirian tentang Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), sebuah universiti yang menurutnya dimonopoli kaum bukan-Melayu, memandangkan wanita muda itu didakwa mengkritik dasar UiTM yang hanya menerima mahasiswa Melayu.

Malang bagi Razali, cabarannya itu dipatahkan oleh ahli jawatankuasa pusat MCA Gan Ping Sieu yang menyuruh Razali sebuah ‘buat kerja rumah’ kerana UTAR sebenarnya terbuka kepada semua kaum.

Dalam sebuah wawancara tahun lalu, Dyana mencadangkan supaya satu lagi institusi pengajian tinggi seperti UiTM ditubuhkan bagi memberi peluang kepada golongan kurang berkemampuan yang berhak mendapatpendidikan bermutu tanpa mengira kaum.

“Sewaktu belajar di UiTM, saya menyedari bahawa anak-anak pemimpin UMNO yang kaya mendapat tempat di UiTM.

“Walhal mereka yang lebih miskin namun berkelayakan tetapi tidak mempunyai pertalian dengan UMNO tidak mendapat tempat,” ujar Dyana dalam satu kenyataan.

Menurut Dyana lagi, peluang saksama kepada semua rakyat Malaysia yang berhak tidak bermakna bahawa orang Melayu akan dirompak.

Sebaliknya ia akan membuka peluang kepada rakyat Malaysia yang lebih berhak tanpa mengira kaum, termasuk banyak anak Melayu yang tidak menyokong UMNO

“Sebuah institusi awam, apatah lagi institusi pendidikan tinggi awam, tidak patut dibiarkan bergantung nasib kepada parti politik. UiTM adalah milik rakyat, dan bukannya milik UMNO,” kata beliau.

UMNO buat kelakar

Dyana juga menyatakan kehairanannya dengan sikap sesetengah pemimpin UMNO yang menganggap mahasiswa UiTM patut menyokong UMNO, walhal mereka juga mengekang mahasiswa daripada aktif berpolitik.

“Mahasiswa sewajarnya bebas mengutarakan pendapat dan buah fikiran, serta diberikan kebebasan untuk mengejar impian dan cita-cita mereka,” tambah Dyana.

“Tidak ada parti politik berhak menghalang aspirasi dan impian anak muda Malaysia,” tegasnya.

Dyana akan bertembung dalam pertarungan sengit di pilihanraya kecil Parlimen Teluk Intan melawan presiden Parti Gerakan, Datuk Mah Siew Keong. Hari mengundi PRK Teluk Intan dijadual berlangsung pada 31 Mei ini. – Roketkini.com