Berita

Khairy pun tiada pengalaman jadi menteri

KUALA LUMPUR, 20 MEI: Wakil rakyat DAP mempertikaikan gesaan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin agar pengundi Teluk Intan menolak calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud, hanya kerana beliau masih muda dan kononnya tidak berpengalaman.

Bagi Ahli Parlimen DAP Kulai Teo Nie Ching dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran, Khairy sendiri tidak memiliki sebarang pengalaman sebagai menteri ketika dilantik menyertai kabinet tahun lalu.

“Hakikatnya, kita semua adalah orang baru yang tidak berpengalaman, sehinggalah diberi peluang. Sebelum Khairy menjadi menteri pada tahun 2013, beliau juga tiada pengalaman.

Adakah tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melantiknya itu satu keputusan yang salah?” kata mereka dalam satu kenyataan bersama.

Kedua-dua Ahli Parlimen itu percaya lebih penting untuk Khairy menilai prestasinya sendiri sebagai menteri sejak setahun ini, memandangkan itu adalah kali pertama beliau menjawat jawatan itu.

“Bagaimanakah Khairy menilai prestasinya? Jika gagal, bila beliau akan meletak jawatan? Jika beliau rasa prestasinya bagus, apa yang membuatkannya fikir Dyana tidak boleh melaksanakan tugas dengan baik jika diberi mandat?” soal mereka lagi.

Dyana sebelum ini berkhidmat sebagai setiausaha politik kepada Ahli Parlimen Gelang Patah merangkap Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang selama setahun.

Dalam sidang media semalam, Khairy juga berkata, jika menang pada Pilihanraya Kecil (PRK) itu, Dyana selaku Ahli Parlimen DAP tidak akan memiliki akses kepada agensi-agensi persekutuan.

Menyifatkan kenyataan itu sebagai satu ugutan, mereka mengingatkan Khairy bahawa tugas kerajaan adalah untuk berkhidmat kepada rakyat, bukan hanya kepada pengundi mereka di kawasan yang dimenangi Barisan Nasional.

“Ia adalah satu ugutan terbuka yang angkuh. Jelas, Khairy juga terperangkap dalam politik ‘I help you, you help me.’

“Walaupun popular dan dianggap bintang dalam Umno, beliau gagal memupuk politik baru yang mengutamakan tadbir urus yang baik, keadilan dan kesamaan.

“Berbeza dengan Dyana yang berikrar terhadap politik baru, seperti memecahkan tembok perkauman dan agama. Walau pun masih baru, beliau sememangnya harus diberi peluang,” kata mereka lagi.

Dyana Sofya, peguam berusia 27 tahun bakal berhadapan dengan Presiden Gerakan Mah Siew Keong, seorang bekas timbalan menteri, dalam PRK yang akan diadakan 31 Mei nanti. – Roketkini.com