Rencana

Penindasan ilmu membantutkan perkembangan bangsa – Zairil Khir Johari

Izinkan saya bermula dengan memetik sebuah anekdot masyhur yang dikisahkan di dalam Al-Quran. Kisah seorang insan yang mencari siapa Tuhannya. Beliau bermula dengan mempersoalkan amalan tradisional masyarakatnya yang menyembah berhala.

Pada malam hari, beliau melihat kepada bintang yang menyinari pekat malam, lalu bertanya: apakah bintang ini Tuhan? Namun, ternyata bintang itu terbenam di ufuk dunia menjelang subuh.

Lalu beliau melihat pula kepada bulan, bulat dan bercahaya, dan mengajukan soalan yang sama: apakah bulan ini Tuhan? Namun, bulan juga menghilang setelah terbit fajar dan diganti pula oleh matahari yang bersinar dengan lebih terang.

Apakah matahari ini sebenarnya Tuhan? Setelah matahari terbenam tatkala senja menyingsing, beliau menyedari bahawa Tuhan tidak mungkin menjadi objek dan simbol-simbol semata-mata tetapi adalah kekuasaan yang mengaturkan objek dan simbol-simbol ini. Maka, beliau akhirnya berkata:

“Wahai kaumku, sesungguhnya aku berlepas diri (bersih) dari apa yang kamu sekutukan dengan Allah. Sesungguhnya aku hadapkan mukaku kepada Allah yang menciptakan langit dan bumi, dengan cenderung kepada agama yang benar, dan aku bukan dari orang-orang yang menyekutukan Allah.”

Demikianlah pengembaraan spiritual Nabi Ibrahim mencari Tuhannya, sebagaimana yang dicatatkan dalam Surah Al-An‘am, ayat 74-79.

Walaupun saya bukan pakar agama, saya percaya bahawa kisah Nabi Ibrahim ini jelas menggambarkan bagaimana Islam adalah agama yang berasaskan sisi rasional yang mampu dihujahkan dengan logik.

Pada saya, perkara yang paling menarik dalam kisah tersebut, adalah pada waktu Nabi Ibrahim sedang menghadapi persoalan epistemelogi yang paling besar dalam sejarah ketamadunan manusia – persoalan kewujudan manusia – tiada campur tangan yang berlaku daripada Yang Maha Esa. Bukankah mudah andainya sekiranya malaikat (atau setidaknya Ustaz Azhar Idrus) diutuskan untuk memberikan jawapan kepada Nabi Ibrahim?

Sebaliknya, Allah dalam kebijaksanaanNya telah menyerahkan kepada Nabi Ibrahim untuk mencerap alam dan mencari kebenaran melalui kaedah kognitif dan empirikal. Malah, kaedah ini telah mengukuhkan lagi keyakinan Nabi Ibrahim.

Ini membuktikan bahawa Islam adalah lebih daripada dogma semata-mata. Sesungguhnya, Allah telah mengurniakan manusia dengan magnum opus ciptaannya, kurniaan yang hatta tidak pernah diberikan kepada makhluk lain termasuk para malaikat, iaitu akal fikiran yang melayakkan kaum manusia diangkat menjadi khalifah di dunia ini.

Malangnya, di Malaysia, nikmat akal ini tidak benar-benar dihargai, apatah lagi disyukuri, sehingga terdapat kecenderungan para penguasa untuk melakukan apa yang Allah sendiri tidak lakukan terhadap Nabi Ibrahim, iaitu untuk berfikir dan membuat keputusan bagi pihak orang lain, khususnya dalam soal keimanan yang sangat peribadi.

Penindasan ilmu

Justeru, di negara kita, pemerintah akan menentukan untuk rakyat apa yang boleh atau tidak boleh dibaca, ditonton, dibicara, malah dipercayai. Sebagai contoh, bukan Muslim dilarang daripada menggunakan beberapa kalimah “Islam” seperti “Allah,” manakala terjemahan Bible dalam bahasa Melayu pula menjadi mangsa undang-undang.

Penapisan ini tidak hanya terhad kepada bahan-bahan agama. Filem adiwira Daredevil (2003) juga telah diharamkan kerana kononnya merosakkan akidah umat. Baru-baru ini, nasib yang sama telah menimpa buku komik berjudul Ultraman: The Ultra Power.

Dan sekiranya itu tidak cukup menghairankan, kerajaan telah mengambil langkah pelik mengharamkan sesetengah buku hanya dalam bahasa Melayu, manakala tiada sebarang halangan dalam versi bahasa Inggeris.

Satu contoh adalah buku penting dalam ilmu biologi, The Origin of Species karya Charles Darwin. Masuk sahaja ke mana-mana kedai buku atau perpustakaan utama di negara kita dan buku tersebut boleh dijumpai. Walau bagaimanapun, terjemahannya dalam bahasa Melayu, iaitu Asal-usul Spesies, disenaraikan sebagai buku terlarang.

Ada juga buku lain yang mengalami nasib yang menyedihkan ini, seperti karya Karen Armstrong, Islam: A Short History. Terjemahannya, Sepintas Sejarah Islam, diharamkan manakala versi asalnya boleh dibeli dan dipinjam di serata negara.

Apabila diminta untuk mewajarkan pengharaman buku Darwin, maklumbalas yang diterima daripada Kementerian Dalam Negeri adalah bahawa buku tersebut “memudaratkan ketenteraman awam” sambil bercanggah dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah (hal ini pula menimbulkan persoalan lain berkenaan penguasaan pemerintah ke atas “jenis” Islam yang boleh diamalkan).

Pun begitu, jawapan kerajaan langsung tidak masuk akal. Bagaimanakah mungkin sesuatu buku itu dianggap sebagai ancaman kepada ketenteraman awam dan menyalahi ajaran Islam dalam satu bahasa, tetapi boleh diterima pula dalam bahasa lain?

Ataupun, adakah ini sebenarnya cara kerajaan untuk meletakkan batasan ilmu ke atas mereka yang hanya celik Bahasa Kebangsaan, seolah-olah orang Melayu Islam tidak cukup rasional dan cerdik untuk membaca karya besar dunia berbanding mereka yang mampu berbahasa Inggeris?

Pembantutan perkembangan bangsa

Hakikatnya, tindakan mengharamkan buku atas apa-apa alasan tidak mungkin diwajarkan, kerana ia bukan sahaja menindas ilmu dan minda, malah membantutkan perkembangan negara bangsa.

Sejarah dunia membuktikan bahawa pembangunan tamadun berlaku atas usaha memperluaskan ilmu, manakala kegagalan tamadun berlaku apabila ilmu disekat dan dihadkan.

Dalam hal ini, usaha penterjemahan adalah sangat kritikal. Ini kerana ia bukan sahaja soal penyalinan kata dalam bahasa yang berbeza, tetapi pengolahan ilmu, maklumat dan pengalaman sesuatu budaya.

Ketika zaman kegemilangan Islam semasa pemerintahan Khalifah Harun al-Rashid, Baitul Hikmah di Baghdad telah menjadi pusat penterjemahan yang masyhur, di mana karya-karya tamadun Greek telah diterjemahkan bagi tatapan umum.

Ini bukan sahaja tidak memudaratkan ketenteraman umat, malah telah menyumbang kepada perkembangan tamadun Islam sehingga terhasil karya-karya dunia yang sangat berpengaruh sehingga ke hari ini.

Malangnya di Malaysia, usaha penterjemahan buku ilmiah adalah amat kurang sekali. Maka, persoalan muncul, apakah fungsi Institut Terjemahan Negara Malaysia atau sekarang dikenali sebagai Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM)? Institut ini bukan sahaja tidak giat dalam usaha penterjemahan, ia nampaknya lebih cenderung kepada menerbitkan buku-buku pemimpin kerajaan seperti Perkhidmatan Awam: Meneraju Perubahan, Melangkau Jangkaan oleh Dato’ Sri Najib Razak dan Sudut Pandangan Muhyiddin Yassin oleh Timbalan Perdana Menteri.

Cuba bayangkan sekiranya Khalifah Harun al-Rashid menggunakan Baitul Hikmah untuk menerbitkan buku sendiri – adakah zaman baginda akan dikenali serata dunia sebagai zaman kegemilangan Islam?

Bahasa milik penguasa?

Kita semua kenal dengan cogan kata “Bahasa Jiwa Bangsa.” Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka, slogan ini adalah satu gagasan besar yang bermaksud bahawa bahasa mampu memainkan peranan dalam pembentukan identiti kebangsaan.

Di negara ini, bahasa Melayu telah diangkat menjadi Bahasa Kebangsaan. Ini bererti ia bukan lagi menjadi bahasa milik kaum Melayu semata-mata, tetapi telah menjadi bahasa kepunyaan setiap insan yang bergelar rakyat Malaysia.

Namun, tindakan kerajaan untuk memperkecilkan kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa keilmuan dengan mengharamkan terjemahan Melayu sesetengah buku serta keengganannya untuk melabur secara besar-besaran dalam usaha penterjemahan telah menjadikan gagasan ini sebagai slogan kosong yang menghiasi dinding-dinding sekolah semata-mata.

Dalam erti kata lain, para penguasa di Malaysia bukan sahaja tidak menghormati Bahasa Kebangsaan malah menindas penggunaannya. Justeru, nasib bahasa Melayu hanya boleh diselamatkan sekiranya belenggu kerajaan dirungkaikan dan ia diberi ruang dan sokongan yang mencukupi agar menjadi bahasa wacana ilmu sekali lagi.

Elok juga sekiranya iktibar dapat diambil daripada kisah Nabi Ibrahim dan sejarah tamadun Islam, iaitu tidak ada kuasa yang boleh kekal, sama ada kuasa ideologi, agama atau politik, sekiranya ia tidak dapat diwajarkan secara logik dan rasional. Pada masa yang sama, mana-mana kerajaan atau tamadun yang tidak membenarkan ruang bagi perkembangan ilmu dalam kalangan masyarakatnya akan akhirnya menemui kegagalan. Bak kata pepatah orang putih: Sesiapa yang gagal mengambil iktibar daripada sejarah akan mengulangi kesilapannya.

ZAIRIL ialah Ahli Parlimen Bukit Bendera, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Penang Institute (PI). Ucapan ini disampaikan sebagai pembukaan Forum Nusantara anjuran PI di Shah Alam pada 17 Mei 2014 bertajuk ‘Bahasa Jiwa Bangsa atau Bahasa Jiwa Kuasa?’