Rencana

Siapa kata Dyana lawan hudud? – Anak Mami Di Perantauan

Mana punya mamat sudah memandai-mandai sebar khabar kononnya Dyana Sofya lawan hudud. Konon Dyana bukan Muslim sejati, ternoda Islam dan imannya kerana melawan perintah Tuhan supaya berhukum dengan hukum Al-Quran. Kalau boleh mahu saja dikafirkan Dyana kerana dakwaan penolakannya terhadap hudud itu.

Dengan sekelip mata aura ‘awek cun’ Dyana mendung seketika dan anak gadis calon DAP Teluk Intan itu hilang kerlipannya. Hanya kerana dituduh melawan kehendak Tuhan dan dihakimi sekalian umat penyokong UMNO yang dengan tiba-tiba menjadi pembela hukum hudud.

Juak-juak UMNO ini lupa mungkin kata-kata tok ketuanya dulu yang bukan setakat melawan hukum Tuhan, malah mempersendakannya lagi. Ya, itu orang tua itu yang marah-marah kononnya ibu Dyana gagal mendidik anaknya supaya taat kepada UMNO.

Orang tua itu yang anaknya sendiri tidak jadi Ahli Parlimen UMNO, malah turun demonstrasi Bersih.

Orang tua ini dulu melawan hukum Tuhan, seolah-olah Tuhan ini kawan-kawan. Juak-juak dan balaci UMNO lupa kerana, seperti kata tok ketua itu dulu, ‘Melayu mudah lupa’.

Tetapi Dyana bukan Melayu macam Melayunya juak-juak UMNO. Dyana bukan Melayu ‘lima kupang’ seperti beberapa kerat Melayu yang lari menangis-menangis tinggalkan DAP kerana katanya tidak menghargai Melayu. Dyana bukan Melayu macam calon bebas Bukit Gelugor yang hari ini berguling-guling bawah kereta Lim Guan Eng setelah semalam meroyan menitis air mata kerana media tidak pedulikan dia.

Dyana tidak menentang hudud. Dyana membantah pelaksanaannya. Ada beza di situ. Siapa tidak nampak perbezaan ini ceroi sangat lah.

Analogi mudah dapat dilihat dengan kedegilan ramai orang UMNO yang masih merokok walaupun sudah berbuih mulut sekalian ulama memfatwakan rokok itu haram. Ini bukan melawan hukum, ini cumanya membantah pelaksanaan. Kan?

Di saat kes khalwat dihakimi dengan kesaksian kaki-kaki skodeng dan kes-kes mahkamah syariah yang lambat mengalahkan siput dan mengakibatkan masalah keluarga banyak pihak, bukan hukumnya yang menjadi isu, tetapi mekanisme pelaksanaannya.

Jadi jangan kata Dyana lawan hudud. Dyana bantah pelaksanaan, implementasi dan mekanismenya. Ini kena tahu beza supaya boleh berdebat dengan macai-macai UMNO yang beriya-iya melompat melaungkan hudud tetapi tidak ada telur mahu menggesa pelaksanaannya di Terengganu di mana undang-undang tersebut sudah pun wujud dan tidak pun dibatalkan pentadbiran UMNO sekarang. – Roketkini.com