Berita

PRK Teluk Intan: Kit Siang seru pengguna internet ‘turun padang’ bantu Dyana Sofya

TELUK INTAN, 21 MEI: Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang menyeru semua pengguna internet untuk turun padang melakukan segala termampu untuk bersama-sama membantu kemenangan calon DAP Dyana Sofya Mohd Daud dalam Pilihanraya Kecil (PRK) Teluk Intan.

Beliau berkata, berbanding dengan sokongan besar Dyana di internet, suasana di kawasan Parlimen itu berbeza sama sekali apabila peguam muda itu menghadapi pertarungan sukar berhadapan Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong.

“Jika pertarungan ini ditentukan di media sosial atau internet, tiada keraguan lagi Dyana akan menang. Namun Saya bimbang kerana PRK ini bukan ditentukan pengguna internet, tetapi 60,000 pengundi Teluk Intan, dengan peratusan besar tidak memiliki internet.

“Atas sebab ini, saya ingin menghantar pesanan kecemasan SOS kepada mereka, untuk membantu dengan apa sahaja cara yang termampu kerana Dyana berhadapan dengan kekalahan dalam PRK ini,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau turut mengulang kenyataannya sebelum ini, bahawa DAP bertanding sebagai ‘underdog’ dengan peluang kemenangan sekitar 40 hingga 60 peratus.

Pencalonan Dyana Sofya mendapat sambutan hangat di internet, apabila laman Facebook rasminya kini diikuti 43,262 pengguna walaupun baru dilancarkan lima hari lalu.

Dengan rupa paras manis dan pendirian yang tegas, beliau menjadi fenomena baru politik negara. Tambahan pula Dyana mewakili DAP – parti pelbagai kaum namun sering ditohmah sebagai cauvinis.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Gelang Patah itu menyifatkan, pencalonan Dyana telah mencetuskan harapan seluruh rakyat Malaysia yang sudah muak dengan politik lama berasaskan kaum, dan digantikan dengan politik ‘nilai’.

“Penganalisis menyifatkan keputusan DAP mencalonkan beliau sebagai tindakan ‘berani’, namun sukar untuk mencapai kemenangan kerana politik Malaysia masih kuat berakar kepada perkauman. Kami tidak setuju dengan pemikiran ini.

“Kami percaya selepas 57 tahun Merdeka, sudah tiba masanya rakyat meninggalkan politik sebegitu, di mana orang Cina menyokong Cina, Melayu menyokong Melayu dan India menyokong India.

“Dan menuju ke tahap yang lebih tinggi dengan menyokong sesiapa sahaja yang bersedia untuk mengambil pendirian tegas dalam isu keadilan, kebebasan, kedaulatan undang-undang dan tadbir urus yang baik,” katanya lagi. – Roketkini.com