TELUK INTAN, 22 MEI: Pakatan Rakyat (PR) mengecam provokasi melampau samseng upahan UMNO-BN semasa sesi ‘Walkabout’ bersama calon DAP Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan di Pasar Malam Taman Perumahan Awam, Kampung Padang Tembak, semalam.
Penolong Setiausaha PublisitI DAP Zairil Khir Johari berkata, beliau tidak memahami mengapa parti itu memilih berkempen dengan cara kotor, sekaligus bertentangan dengan janji yang dibuat sebelum ini.
“Saya nak tanya, adakah ini cara kempen anak jantan? Yang disebut berulang kali oleh pemimpin mereka seperti Khairy Jamaluddin dan Datuk Mah Siew Keong?
“Kononnya ingin berkempen cara sihat tapi sebaliknya berlaku. Insiden ini juga bukan kali pertama. Semasa lawatan ke Kampung Bahagia, sehari sebelum, mereka turut memprovok kami, tapi tidak seteruk semalam,” katanya dalam sidang media di Pusat Operasi DAP PRK Teluk Intan, hari ini.
Dalam sidang media yang sama, Ahli Parlimen PAS Kuala Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad turut kesal dengan serangan tersebut kerana ia merupakan intimidasi fizikal terhadap wanita.
Menurut beliau, semua agama atau budaya tidak merestui perbuatan sedemikian.
“Sepatutnya apa-apa hujah atau perbezaan politik dihujah secara intelek bukan secara fizikal.
“Saya juga terkejut dengan ungkapan yang digunakan seperti ‘ini kampung Melayu’. Seolah-olah kita ni berada di zaman darurat, ‘ini kampung aku, ini kampung kau’.
“Apakah kita juga kembali ke zaman rejim Apartheid di Afrika Selatan disebuah negara yang kononnya maju. Apa jadi dengan konsep 1Malaysia?, ” soalnya.
Zairil yang kemudian Ahli Parlimen Bukit Bendera kemudiannya turut mempersoalkan maki hamun samseng itu yang sama sekali tidak berasaskan logik.
“Saya tak faham dimana logik dari laungan ‘Ini kampung Melayu’ kepada kita, kerana kita membawa calon Melayu,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau berterima kasih kepada semua peniaga dan pembeli di pasar malam yang memberikan sokongan, mempertahan dan menyambut kehadiran PR, semalam. -Roketkini.com