Sastera

CERTOT: Pembetulan

Hudud Palsu

Hari ini hari penting. Legar perhimpunan penjara sudah dipenuhi para banduan. Suhaimi berdiri paling hadapan. Meneliti lembar-lembar karangan. Sehelai demi sehelai.

Hari ini hari penting. Dia akan memberikan ucap. Pengucapan aluan buat para banduan.

Dia berjalan menuju pentas. “Assalamualaikum semua!” Pekiknya dari tengah pentas. Ruang perhimpunan yang tadi hingar bertukar sepi.

“Selamat datang ke penjara Taubat 84B (1).”

“Saudara sekelian, aku tidak mahu tahu siapa kalian, dari mana atau apakah jenayah yang  telah kalian lakukan. Namun aku telah didatangi mimpi malam tadi. Itulah yang mahu aku ceritakan.”

“Dalam mimpi itu aku bertemu dengan sejenis makhluk. Dia memberitakan tentang ketempangan yang penuh mungkar.”

“Makhluk itu bertanya. Adakah aku pernah mendengar kalimah zullullah fi al-‘alam? Dia bertanya adakah aku sudah didatangi seorang ustaz yang datang memberi kucup dan ucap tahniah?”

“Saudara sekelian. Makhluk itu menjelaskan, benarlah hudud itu bertolak dari sepotong wahyu. Ayat 38 surah Al-Maidah sumber kisahnya. Namun menurutnya hudud yang kita jalani ini adalah hudud Yazid Bin Muawiyah.”

“Dia mengajari aku kepalsuan zullullah fi al-‘alam. Lihatlah aku ini. Tanganku hilang dihukum kudung kerana mencuri setin susu buat bayiku. Lalu aku relakan demi taubat dan ampun. Sedangkan di luar sana ada raja, pemerintah dan penguasa yang rakus merompak hasil keringat rakyat melebihi dari hanya setin susu!”

“Saudara sekelian. Kita yang marhaen ini kini kudung kerana dibohongi oleh hadith palsu dan dibodohi oleh hudud yang keliru. Ayuh kita para banduan bangkit membetulkan!”

“Ayuh….!!”

Gadis Politikus

“Zaini, ada kau mendengar cerita tentang kononnya terdapat seorang jelitawan yang datang entah dari planet mana akan menyelamatkan kita?” Zaini memandang Sani sambil menggelengkan kepala.

“Kenapa?” tanya Zaini.

“Khabarnya dia umpama bidadari syurga,” cerita Sani sambil membeliakkan mata.

“Kata orang jelitawan dari syurga itu akan menawarkan fahaman politik yang baharu. Khabarnya dia berjanji akan meruntuhkan benteng politik perkauman lapok anutan kita selama ini.”

“Cis! celaka.”

“Tak cukup dengan itu. Khabarnya lagi, dia bukan saja cantik, berakal dan bijak berkata-kata. Malah dia menghargai perbezaan dan persamaan lalu meraikan seluruhnya.”

Zaini menung seketika. Jelas perkhabaran itu adalah berita bahaya buat kumpulannya.

“Begini. Kumpulkan bijak pandai kita. Berhimpun mesyuarat di markas malam ini juga.”

Sani dua tiga kali mengangguk tanda faham perintah ketuanya.

“Zaini! Zaini!”

“Hah, itu pun orang-orang kuat kita,” kata Sani sambil senyum bangga.

Zaini mengangkat tangan melambai tanda hormat sebagai ketua. Wajahnya senyum lega.

“Baguslah kalian semua datang ke mari. Senang ketua kita nak bercerita,” kata Sani nada bersenda.

“Nanti dulu. Begini Zaini, kami datang ramai-ramai bersekali begini kerana mahu tinggalkan perjuangan kita.”

Merah telinga Zaini mendengarkan ayat yang keluar dari mulut teman-temannya.

“Kami dah bosan dengan perjuangan berbangsa-bangsa begini. Jiwa kami jelak dengan politikus buncit dan botak yang hanya kaya harta. Mata kami dah sakit menyaksikan jenis makhluk yang sama jadi ketua. Selamat tinggal Zaini.”