Berita

Sabbaruddin Chik dedah skandal pinjaman RM40 juta VIP Putrajaya

KUALA LUMPUR, 26 MEI – Bekas pengerusi Bank Rakyat Tan Sri Sabbaruddin Chik hari ini mendedahkan skandal pinjaman bernilai RM40 juta yang diberikan oleh bank itu kepada seorang VIP yang rapat dengan pentadbiran Putrajaya.

Lebih mengejutkan, Putrajaya didakwa mengarahkan bank menerima pembayaran semula pinjaman terbabit dengan bayaran ansuran 120 keping cek tunda selama tempoh 10 tahun tanpa sebarang faedah.

Gara-gara tidak bersetuju menerima cara pembayaran tersebut, Sabbaruddin tidak disambung kontrak perkhidmatannya.

Mengulas hal terbabit, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menggesan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak campurtangan dan menjelaskan skandal tersebut kepada rakyat.

“Perdana Menteri mesti menghormati akauntabiliti dan ketelusan dengan berlaku jujur tentang skandal pinjaman RM40 juta Bank Rakyat yang didedahkan oleh bekas menteri yang juga bekas pengerusi Bank Rakyat Tan Sri Sabbaruddin Chik,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

“Datuk Seri Najib mesti menjelaskan pendedahan Sabbaruddin ini kepada orang ramai kerana VIP yang dimaksudkan mempunyai pertalian rapat dengan pemimpin BN,” tambah beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan.

Najib turut digesa menjelaskan apakah asas untuk Bank Rakyat meluluskan pinjaman tersebut.

“Apakah ia semata-mata kerana politik atau apakah ia mengikut prosedur yang betul.

“Bagaimanakah pinjaman yang begitu tinggi nilainya, iaitu sebanyak RM40 juta, senang-senang diberikan kepada seorang VIP yang kemampuan membayar semula dan kedudukan kewangannya tidak jelas?” soal Guan Eng.

Beliau turut meminta Perdana Menteri menjelaskan apa yang terjadi kepada tawaran kompromi oleh VIP ini selepas tempoh khidmat Sabbaruddin sebagai pengerusi Bank Rakyat tidak dilanjutkan.

“Adakah VIP tersebut masih dibenarkan untuk membuat pembayaran semula secara 120 kali ansuran selama 10 tahun, tanpa faedah?” katanya sambil menggesa Perdana Menteri supaya berterus terang tentang pinjaman mega lain yang diberikan kepada VIP yang mempunyai kedudukan kewangan yang meragukan.

Menurut Guan Eng kegagalan berbuat demikian hanya menunjukkan bahawa pemimpin BN menguruskan negara bukan untuk kebaikan orang ramai tetapi demi faedah kroni.

Sabbaruddin dalam wawancara bersama The Malaysian Insider memberitahu bahawa VIP tersebut telah menggunakan hubungan politiknya untuk menyelesaikan hutang berjumlah RM32 juta tanpa kiraan faedah kerana campurtangan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek.

Hasan menulis surat mengarahkan Bank Rakyat untuk akur kepada syarat kompromi yang ditawarkan oleh VIP itu.

Setelah lembaga pengarah enggan berbuat demikian, Hasan tidak puas hati dan enggan pula menandatangani surat untuk menyambung tempoh perkhidmatan Sabbaruddin yang berakhir pada 8 April. – Roketkini.com