Berita

Lempar kecaman seksis terhadap Dyana, UMNO-BN tidak hormati wanita

TELUK INTAN, 28 MEI: Persatuan Wanita Perak (PWW) dan Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (Empower) kesal dengan pimpinan tertinggi UMNO-BN yang mengeluarkan kecaman berbaur seksis serta misoginistik terhadap Dyana Sofya Mohd Daud.

“Kenyataan menteri-menteri ini yang hanya tertumpu pada rupa paras dan bukan terhadap polisi Dyana jelas menunjukkan bahawa mereka tidak menghormati wanita,” kata mereka dalam sidang media bersama di sini, tengahari tadi.

Pada 25 Mei lalu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi telah mengeluarkan kenyataan bahawa Dyana “tidaklah cantik sangat.”

Dua hari sebelumnya, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Abdul Rahman Dahlan juga telah memperlekehkan Dyana dengan kenyataan “Adakah kita undi seseorang hanya kerana dia memakai gincu? Kerana dia senyum dan memakai solekan serta lebih cantik dari Mah?”

Pengarah Eksekutif Empower Maria Chin Abdullah berkata, tindakan menteri-menteri UMNO-BN ini menyukarkan lagi wanita untuk menceburi dunia politik yang sudah sememangnya sudah terbelenggu dengan unsur-unsur seksis.

“Kami ingin memberi peringatan kepada semua bahawa insiden-insiden itu bukanlah terpencil.

“Kami telah menyaksikan tindakan-tindakan seksis dan misoginistik seperti penyebaran gambar yang kononnya adalah Dyana serta intimidasi verbal diterima beliau melalui nombor telefon yang disebar kepada umum,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, negara ini sepatutnya memberi tumpuan terhadap penyaluran intipati demokrasi dan pilihanraya yang adil, bukannya kenyataan seksis yang merendah-rendahkan wanita.

“Malaysia memerlukan pengurusan demokrasi dan etika politik yang sihat, bukannya perlumbaan melihat pihak mana lebih samseng.

“Pemerkasaan wanita, kesamarataan gender dan penyertaan wanita dalam proses membuat keputusan adalah lebih bermakna ke arah negara yang progresif serta hala tuju ke hadapan wanita dalam politik,” tegasnya. -Roketkini.com