Berita

Pulau Pinang sedia biasiswa untuk kekalkan modal insan dalam negara

GEORGE TOWN, 29 MEI – Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah meluluskan penubuhan ‘Penang Future Foundation Fund’ yang menyediakan biasiswa penuh bagi membantu pelajar tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dalam kenyataan hari ini memberitahu biasiswa tersebut akan dibiayai oleh penderma dan syarikat swasta dan mensyaratkan penerima biasiswa untuk bekerja sekurang-kurangnya 8 tahun di Pulau Pinang sebagai usaha untuk mengekalkan modal insan di negeri itu.

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang berdepan dengan kesukaran akibat kegagalan Kerajaan Persekutuan yang bukan sahaja meminggirkan malah mengabaikan bakat negara,”

“Lebih daripada 2 juta rakyat Malaysia telah meninggalkan negara ini sejak Merdeka pada tahun 1957, didorong bukan sahaja kerana gaji yang lebih tinggi tetapi juga kerana tertarik dengan lebih banyak dasar-dasar berperikemanusiaan di negara luar,” ujar beliau.

Menurut Setiausaha Agung DAP itu, Talent Corporation telah jelas gagal dalam tugasnya untuk mendapatkan sebahagian daripada 2 juta rakyat Malaysia yang berbakat untuk pulang ke tanah air.

“Salah seorang yang pulang memberitahu saya bahawa kebanyakan mereka kesal kembali semula ke Malaysia kerana janji-janji yang tidak ditepati.”

“Atas sebab ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang merasakan bahawa usaha bersepadu perlu dibuat untuk meyakinkan mereka supaya tidak meninggalkan Malaysia dari awal,” tambah beliau lagi.

Pulau Pinang terus menjadi lokasi pilihan bagi pelabur, dan kekal sebagai negeri yang mencatatkan pelaburan langsung asing (FDI) tertinggi di Malaysia dari tahun 2010 hingga Ogos 2013. Ia menyumbang RM19.7 bilion atau hampir 20% daripada jumlah FDI
Malaysia dalam tempoh itu. – Roketkini.com