TELUK INTAN, 30 MEI: Selepas gambar ‘bikini’ pelakon Filipina ketika awal kempen, kini gambar calon DAP Dyana Sofya bersama ibu Yammy Samat disertai tulisan ‘vote DAP=vote Perkasa’ pula disebarkan.
Malah, turut tersebar adalah karikatur menunjukkan beliau sebagai ejen Perkasa – untuk menakutkan pengundi Cina – dan karikatur Dyana sebagai alat mentornya, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang, yang tentunya disasarkan kepada masyarakat Melayu.
Poster kempen Dyana di Jalan Sultan Abdullah yang masih dalam keadaan baik semalam, kini telah diconteng dengan perkataan ‘babi’.
‘Di mana tiada Umno-BN, di situlah adanya keamanan’
Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu berkata, segala taktik kotor tersebut hanya berlaku kerana Umno BN terlibat dalam Pilihanraya Kecil (PRK) ini.
Beliau atau nama popularnya ‘Mat Sabu’ membandingkan suasana kempen di sini berbanding PRK Bukit Gelugor yang berlangsung aman.
Barisan Nasional tidak meletakkan calon dalam PRK Bukit Gelugor.
“Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan polis pun akui PRK Bukit gelugor adalah PRK paling aman, sebab Umno tak lawan.
“Di mana tiada Umno, di situlah adanya keamanan. Di mana Umno ada, di situ ada kekacauan,” katanya dalam ceramah perdana Pakatan Rakyat di sini semalam.
Beliau juga mengingatkan kempen fitnah akan semakin rancak menjelang hari mengundi esok, dan menyeru pengundi agar tidak termakan dengan taktik kotor sebegitu.
‘Saya sedih, tapi tetap bersemangat’
Dalam pada itu, Dyana menegaskan segala kempen kotor itu tidak sedikit pun menjejaskan semangatnya, apatah lagi dengan sambutan hangat yang diterima di setiap acara yang disertainya.
“Memang saya sangat sedih dituduh macam-macam, namun saya tetap di sini kerana (sokongan) anda semua.
“Mereka tuduh kita main kotor. Tetapi siapa yang ada gambar bikini? Siapa yang ada laman Facebook palsu? Siapa yang tanpa henti diserang menteri?
“Taktik kotor ini akan berterusan. Semakin dekat hari mengundi, semakin banyak serangan kepada saya. Jadi, saya harap anda semua akan terus bersama saya,” katanya disambut sorakan ribuan hadirin. -Roketkini.com