Sastera

CERTOT: Apa Erti Bertuhan? (2)

CERTOT III: AGAMA ITU SEBUAH PERNIAGAAN?

Corong pembesar suara masjid jamek memperdengarkan ceramah Ustaz Zikri, sementara Fudhail meneruskan kerjanya mengutip tin-tin aluminium di kawasan longgokan sampah. Malam hujung minggu begitu memang Ustaz Zikri bertugas mengisi slot Kuliah Sabtu di masjid tersebut. Dengan kereta BMW yang baru dibelinya siang tadi, Ustaz Zikri datang malam ini dengan tazkirah mengenai sedekah.

“Kita mestilah sentiasa ringan tulang menghulurkan sedekah kepada orang-orang yang miskin. Sesungguhnya Allah akan memberi ganjaran besar terhadap orang yang rajin bersedekah.”

Fudhail berehat sebentar. Dia bersandar sebentar di dinding bangungan Lorong Jaha itu. Setiap hari dia hanya mampu sekadar mengutip tin-tin kosong untuk dijual atau mengambil upah mencuci pinggan untuk menyara isteri dan dua orang anaknya. Dengan kaki kanannya yang tempang, tanpa wang dan ijazah yang tinggi-tinggi, itu sahaja kerja yang mampu dilakukannya.

Selepas solat Isyak, Ustaz Zikri melalui Lorong Jaha untuk ke tempat letak kereta BMW barunya itu. Ketika itu, Fudhail menyambung kerja mengutip tin-tin kosongnya. Tanpa sengaja, tin Pepsi yang dipegang terlepas dari tangan Fudhail dan bergolek di depan kaki Ustaz Zikri. Fudhail terus membongkok dan mengutipnya di hadapan kaki Ustaz Zikri.

“Hati-hati. Kasut aku ini mahal. Kawan aku hadiahkan dari Amerika.”

Fudhail mengangguk sambil meminta maaf. Ustaz Zikri meneruskan saja perjalanan untuk ke kereta BMW barunya. Kuliahnya tentang topik sedekah di masjid jamek sebentar tadi telah berjaya meletakkan beberapa not duit hijau putih ke dalam saku bajunya. Sedari tadi Ustaz Zikri senyum-senyum sahaja.

Dan Fudhail terus mengutip tin-tin kosong untuk menyara hidup keluarganya tanpa ada sesiapa pun yang peduli nasibnya. Siapa kan peduli nasib gelandangan sepertinya yang tidak mempunyai sebarang ijazah, apatah lagi ilmu agama yang tinggi-tinggi.

CERTOT IV: AGAMA MELAWAN KEMANUSIAAN?

“Engkau Syiah. Jangan masuk masjid ini. Kami semua berakidah dengan akidah Ahlus Sunnah wal Jamaah. Jangan sebarkan ajaran sesat di tempat kami ini.”

Hilal, pemuda dari Iran itu sekadar mengangguk. Dia beredar dari masjid itu. Imam Muhalil menolaknya mentah-mentah. Niatnya untuk mengerjakan solat terbatal begitu sahaja. Setiap hari begitu. Sesekali Hilal berkecil hati, tetapi dia maklum keberadaannya di Kampung Juanda sebagai seseorang yang berwarga Iran dan menjadikan Syiah sebagai pegangan rasminya. Di Kampung Juanda, dia sekadar bermukim untuk tempoh tiga tahun kerana menyambung pengajiannya di universiti tempatan.

Seringkali dia ingin mendekati Imam Muhalil untuk berdiskusi dengannya bagi lebih mengenali Sunni, tetapi apakan daya, ingin menunaikan solat di masjid pun dilarang. Kedatangannya umpama hantu yang ditakuti oleh masyarakat.

“Tolong!”

Hilal yang sudah hampir melangkau jauh keluar daripada pintu masjid berhenti seketika. Suara datang dari arah masjid. Dia bergegas untuk melihat apa yang terjadi. Dilihatnya dua orang lelaki mengacukan pisau ke arah Imam Muhalil. Imam Muhalil terketar-ketar menyerahkan dompet kepada mereka.

“Hoi!”

Hilal berlari menuju ke arah mereka. Dua orang perompak tersebut terperanjat lalu lintang pukang melarikan diri sehingga dompet Imam Muhalil pun terlepas dari tangan mereka. Imam Muhalil berwajah pucat. Hilal mengambil dompet di atas jalan dan menyerahkannya kepada Imam Muhalil.

“Hilal, err….terima kasih.”

Tangan Imam Muhalil yang sejuk digapai dan disalami.

“Syiah atau Sunni, tidak sepatutnya membataskan kemanusiaan antara kita. Kita masih adalah manusia yang Tuhan berikan akal dan hikmah. Syiah atau Sunni, perbezaan tidak wajar menjadi pembatas silaturrahim antara kita.”

Hilal pergi dengan senyuman. Imam Muhalil terus berdiri kaku.