Budaya

Melakar kata pada pasir

Charles Bukowski, ketika berusia sekitar 40 tahun, dalam salah satu suratnya ada menulis tentang permainan dalam kepalanya yang dinamakan “Desert Island”. Permainan ini melibatkan kepala otaknya yang sudah cair direndam alkohol dan imaginasi tentang keadaan terdampar di sebuah pulau, sendirian.

Objektif permainan ini ialah untuk menjawab satu soalan dengan kata “ya” atau “tidak.”

Bukowski akan bertanya kepada dirinya, “Wahai Bukowski. Kalau kau terdampar sendirian di sebuah pulau dan tiada mungkin dijumpai sesiapa kecuali unggas dan ulat, adakah kau akan mengambil sepotong ranting kayu dan mencakar kata-kata di permukaan pantai?”

Selalunya penyair yang mati akibat leukemia pada tahun 1994 ini akan menjawab “tidak” kepada soalan tadi. Menafikan kehendaknya untuk menulis dalam keadaan yang demikian getir sentiasa memberi peluang untuknya menyelesaikan hal-hal lain yang selalunya tertangguh kerana si Bukowski bukannya mahu pun memperbuat hal tersebut.

Namun menyatakan tidak kepada keinginan dan nafsu menulis itu berjaya menjauhkannya dari mesin taip. Kerinduan berat kepada mesin taip itu pula melahirkan seorang Bukowski yang melarat sakit dan melekat di ranjang hospital menanti maut. Pun begitu, maut tiada kunjung tiba.

Pada saat itu sekali lagi beliau bertanya kepada dirinya sendiri, “Wahai Bukowski. Kalau kau terdampar sendirian di sebuah pulau dan tiada mungkin dijumpai sesiapa kecuali unggas dan ulat, adakah kau akan mengambil sepotong ranting kayu dan mencakar kata-kata di permukaan pantai?”

Dalam keadaan terdampar sendirian menunggu maut itu Bukowski menjawab ya. Ya, dia akan mencari ranting kayu kering dan melakar kata-kata pada permukaan putih pasir pantai. Dia akan tuliskan apa sahaja yang mahu dia sebut, biar tidak ada orang yang akan membaca tulisannya. Kudrat yang tersisa akan dihabiskan melukis bunyi-bunyi suara yang lahir dalam benak fikirannya, huruf demi huruf, kata demi kata.

Namun kata Bukowski lagi, menulis dan hasil tulisan seperti juga halnya dengan “pernikahan, salji dan tayar kereta” – bukan perkara yang kekal lama.

Ya, ramai orang yang semalam melelapkan mata mengakui dirinya itu penulis dan kemudian celik sehari dua seterusnya menjadi sesuatu yang berlainan sama sekali. Peniaga burger contohnya. Atau tukang paip. Ini selalu terjadi.

Namun, kata Bukowski lagi, ada pula orang yang melelapkan mata di malam hari dalam keadaan dia itu seorang tukang paip, namun terjaga keesokan harinya sebagai seorang penulis. Penulis yang begini, dari sudut pandang penyair mabuk ini adalah penulis yang paling bagus.

Ada yang pernah bertanya padanya, “Hei, Bukowski! Bagaimana kau menulis? Bagaimana kau mencipta?”

Jawab si Bukowski, “Jangan cuba.” Itu yang penting, katanya – supaya tidak mencuba. Apatah lagi mencuba dengan terlalu susah payah.

“Kau tunggu. Kalau tidak ada apa-apa yang berlaku, kau tunggu lagi,” kata beliau.

Bagai serangga yang hinggap di dinding, katanya. Serangga itu ditunggu, sampai ia datang mendekat. “Dan apabila sudah betul dekat, kau capai, dan kau bunuh.”

Kata-kata “Don’t Try” (Jangan cuba) itu diukir pada batu nesannya. “Jangan cuba” menjadi zikir otak kepala Bukowski. Sama halnya dengan permainan Desert Island yang dimainkannya setiap kali bertemu jalan buntu memilih antara menulis dan tidak menulis.

Kadang-kala mencuba dan akhirnya kecewa adalah jauh lebih celaka daripada langsung tidak mencuba dan menyerahkan segala-galanya kepada alam dan aturan masa. Ada masanya yang kita fikir dan tulis dihargai orang, dicetak, dibuku dan dibingkaikan. Ada masanya pula ia seolah-olah sekadar garis-garis yang dicakar ke permukaan pantai, walau putus urat jantung tulisan kita itu mahu diseret keluar dari otak turun ke tangan dan lahir ke kertas.

Penulis dan tulisan akan akhirnya bertemu ajal masing-masing. Kalau menurut Bukowski, ajal penulis dan tulisannya ini terjadi kerana (seperti yang disebut tadi) mereka terlalu gigih mencuba.

Namun, selepas sudah popular, mereka langsung tidak mencuba lagi.

Ramai yang tergolong dalam spesis ini. Yang tidak lagi mencuba setelah karyanya dipuji dan dipuja, diulang cetak dan dijaja-jaja. Ramai juga tergolong dalam kelompok yang satu lagi. Kelompok yang berhenti mencuba setelah semua hasil karyanya tidak sebagus yang disangka.

Pun begitu, bagi si Bukowski, dia tetap boleh menunggu dan bersabar tanpa perlu banyak mencuba atau mencuba terlalu gigih. Tanpa perlu mencuba untuk memuaskan hati sesiapa, Bukowski boleh bersabar. Dia masih punya ranting kayu dan pasir pantai jauh sebatu. – Roketkini.com