Rencana

ANALISA BERITA: Peratus keluar mengundi rendah, faktor utama kalah di Teluk Intan

Sudah masuk hari keempat setelah kerusi Parlimen Teluk Intan disambar daripada DAP dalam pilihanraya paling sengit abad ini. Dengan kemenangan Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong yang hanya berjaya meraih majoriti 238 undi serta peningkatan jumlah undinya sebanyak 71 undi berbanding PRU ke-13, peratus keluar mengundi yang begitu rendah dikemukakan sebagai faktor utama kekalahan DAP.

Hal ini telah dibangkitkan awal-awal lagi oleh Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dan diperkuatkan lagi oleh Strategis Pilihanraya DAP Dr Ong Kiang Ming empat hari sebelum hari mengundi.

Dr Ong menekankan bahawa kadar pengundi yang keluar adalah faktor penting dalam menentukan menang-kalah calon muda DAP Dyana Sofya Mohd Daud.

Beliau menyebut bahawa sekiranya pengundi tidak terpanggil untuk keluar mengundi sepertimana yang terjadi dalam pilihanraya kecil Bukit Gelugor dan peratus keluar mengundi pula jatuh di bawah 65 peratus, DAP pastinya akan kehilangan kerusi Teluk Intan.

Lebih setahun lalu, dalam PRU ke-13, pengundi Teluk Intan keluar berbondong-bondong sehingga mencecah 80.6% berbanding sekadar 70% sewaktu tsunami politik Mac 2008 berlangsung. Namun kali ini, peratusan keluar mengundi hanyalah sekadar 67.4% dan menyebabkan Dyana tewas dengan majoriti yang begitu tipis.

Naib Pengerusi DAP Teresa Kok dalam satu kenyataannya meluahkan keresahan beliau pada minit-minit akhir waktu mengundi 31 Mei lalu.

“Kami sangat bimbang apabila pihak Suruhanjaya Pilihan Raya memberitahu pada saat-saat akhir, sebelum jam 5 petang, bahawa kurang daripada 70% pengundi Teluk Intan telah keluar mengundi,” kata Ahli Parlimen Seputeh itu.

Lim Kit Siang pula ketika ditemui memberitahu bahawa beliau optimis apabila melihat sekitar 10% pengundi keluar setiap jam sejak awal pagi sehingga waktu makan tengah hari.

“Selepas tengah hari, peratusan tersebut kian turun,” ujar Kit Siang yang kelihatan sangat terkesan dengan kekalahan DAP di Teluk Intan, barangkali kerana bacaan politik dan ramalannya tepat.

Sekiranya hari mengundi diadakan pada hari Ahad dan lebih banyak pengundi luar berpeluang pulang ke Teluk Intan, pastinya Dyana akan menjadi wanita Melayu pertama yang mewakili DAP di Parlimen. Namun malang bagi beliau, DAP kehilangan lebih 7,000 undi yang dimenangi mendiang Seah Leong Peng dalam PRU tahun lalu. 7,000 undi ini kebanyakannya datang dari kalangan pengundi luar.

Pun begitu, DAP perlu melakukan analisa mendalam terhadap keputusan 31 Mei lalu, terutamanya berkenaan sokongan pengundi Cina dan India yang merosot hampir 25%.

Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo dalam kenyataan semalam merasakan kemerosotan sokongan kaum bukan-Melayu adalah akibat bantahan mereka kepada isu hudud yang sehingga kini belum disepakati.

Namun, itu bukanlah faktor paling utama yang menyumbang kepada merosotnya undi golongan bukan-Melayu ini. Bagi Teresa Kok, kurangnya faktor ‘ubah’ menyumbang kepada kurangnya motivasi pengundi untuk keluar mengundi.

Malah, menurut Teresa lagi, banyak juga pengundi yang begitu yakin bahawa DAP pastinya boleh menang walaupun tanpa undi daripada mereka.

Ternyata telahan itu salah apabila DAP akhirnya kehilangan peluang terbaik untuk meruntuhkan tembok politik perkauman pada 31 Mei lalu dan akhirnya memberikan kemenangan yang tidak disangka-sangka kepada parti pemerintah. – Roketkini.com