Sastera

CERTOT: Malaikat hinggap di Kaherah

Pada satu malam bulan penuh di bulan Rejab, secara tepatnya di malam keempat belas, satu malaikat kecil muncul di langit Kaherah. Tampaknya dia sedang sesat. Barangkali dia sedang dalam ziarah ke seberang laut Mediterranean menuju ke utara, ke benua Eropa. Atau barangkali dia sedang terbang ke Timur menuju Semenanjung Arab dan Teluk Parsi. Entah bagaimana, dia tiba di tengah kota Kaherah. Dan kerana dia malaikat polos yang sedang sesat, datang dari syurga kayangan, tak siapa dapat mengecam diri sebenarnya. Dia dapat melihat dan mendengar semua orang, tapi pada mereka dia terlihat seperti seekor burung putih yang bebas berterbangan ke mana saja yang diingini.

Malaikat kecil itu mendarat di jambatan besi tua Qasr al-­Nil, menetap buat seketika untuk menatap sungai Nil di bawah dan bulan penuh di atas. Sekelilingnya sepi dan tampak biasa. Kereta­-kereta dan bas-bas mengangkut manusia dari satu tebing sungai ke yang satu lagi. Di sekelilingnya, pasangan­ kekasih bercengkerama, berbicara melalui mata, lidah dan sekelumit tanda. Mereka saling mencuri pandang dan berbalas layangan kucupan. Memandang mereka, begitu indah dan menenangkan, membuka hati si malaikat. Dia berkata pada dirinya, “Ini sebuah kota yang kenal cinta.”

Selepas seketika, dia terbang menuju Dataran Tahrir, dengan senyum dan hati yang senang. Di hujung dataran, bersebelahan sebuah restoran Amerika yang terkenal, dia mendarat dekat sebuah gerai akhbar dan buku yang di belakangnya duduk seorang lelaki tua yang menarik minatnya. Lelaki tua itu berbual­-bual dengan pelanggan, berjenaka tentang semua perkara – barangan jualan, pelanggan, dan hal-­hal yang sedang berlaku di negara itu. Malaikat membaca tajuk utama di muka akhbar-­akhbar besar tapi tidak mampu untuk benar­-benar memahaminya, sekadar tahu bahawa negara itu baru saja hendak memilih presiden baru daripada dua orang calon dan keputusannya tampak hampir jelas.

 Tatkala gelak tawa si lelaki tua semakin rancak tanpa sebarang sebab yang nyata, si malaikat kecil tersenyum dan berkata pada dirinya, “Ini sebuah kota yang kenal jenaka, sebuah kota yang mesra.”

 Si malaikat kemudian memandang ke arah Dataran Tahrir yang terkenal dan melihat seorang lelaki tua kesedihan kerana baru kehilangan anak­ dan cucu­; apa yang mampu dia lakukan hanyalah berdiam diri. Kerana hati si malaikat itu kudus, suci dan tiada noda, dia berkata pada dirinya, “Sesiapa yang tak kenal kesedihan bukanlah manusia.”

 Si malaikat terbang ke taman El Sienia di tengah-­tengah dataran, dan mendarat dekat sekelompok lelaki dan perempuan muda. Dia mendengar perbualan mereka:

-Kita telah buka pintu­-pintu neraka.

– Kita tak boleh terima fasisme agama.

– Kalau begitu, dukunglah fasisme militer.

– Allah ada berfirman tentang hal ehwal ciptaan-Nya, Dia membiarkan manusia yang zalim untuk memerintah manusia lain yang zalim.

– ­Kita perlu membina sebuah negara moden demokratik.

– Revolusi diteruskan.

– Kita adalah orang yang menafikan keindahan; lelaki ini adalah pahlawan rakyat dan telah membebaskan kita daripada pengganas dan orang kafir.

 – Orang miskin harus diutamakan.

– Kita tak mahu kerajaan militer atau agama.

– Ada beribu-­ribu tahanan di dalam penjara.

– ­Di saluran-­saluran televisyen dan dalam kereta­-kereta mewah, ada kumpulan korup yang menyokong fasisme.

– Aku akan terus melaungkan “Kehidupan, kebebasan, keadilan sosial, dan kemanusiaan” sehingga mati.

Si malaikat mendengar lebih banyak pernyataan sambil bunyi bising dan perdebatan menjadi semakin kuat.

Dia memerhatikan raut lelaki-­lelaki dan perempuan-­perempuan muda itu dan berasa simpati terhadap mereka. Kesudahannya dia sedar bahawa setiap daripada mereka yang muda itu berpendapat mereka tahu apa yang nyata, apa yang betul dan salah. Dia tahu mereka berasa keliru dan kecewa.

 Si malaikat senyum kepada mereka persis seorang pendeta tua. Dia meninggalkan mereka, terbang dan berkata kepada dirinya, “Kehidupan manusia aneh dan unik, dan aku tak memahaminya. Tapi ada sesuatu yang indah tentangnya. Sebuah kelahiran baru pasti akan berlangsung di sini. Tanah ini permai dan orang di sini baik­-baik. Barangkali mereka akan berjaya. Mereka pasti berjaya.”

Diterjemahkan oleh Iqhal Ilmam berdasarkan terjemahan Inggeris oleh Reme McGinty – Roketkini.com

-Hamdy El­-Gazzar