Berita

Dewan Rakyat tolak usul DAP bahas kerugian MAS

KUALA LUMPUR, 9 JUN: Dewan Rakyat hari ini menolak usul Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng untuk membahaskan isu kerugian besar Malaysian Airlines (MAS) selama tiga tahun berturut-turut.

Permohonan usul itu dibuat kepada Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia melalui satu surat bertarikh 6 Jun 2014.

Dalam satu surat balasan hari ini, Pandikar memaklumkan isu itu ‘tidak perlu disegerakan’ dengan alasan tindakan mengenal pasti punca kerugian dan jalan penyelesaian sudah diambil.

Dalam sidang media di Parlimen pagi tadi, Lip Eng menyifatkan alasan yang diberikan Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia sebagai tidak boleh diterima.

“Speaker maklumkan tindakan untuk mencari punca kerugian dan penyelesaian sudah diambil, tetapi kita tidak pernah mendapat apa-apa maklumat (tentang punca tersebut).

“Apa yang menyebabkan kerugian MAS dan apakah cara penyelesaiannya?” soalnya.

Pada tahun 2013, MAS mencatat kerugian mencecah RM1.174 bilion – hampir tiga kali ganda berbanding RM433 juta pada tahun 2012.

Kerugian bagi suku pertama 2014 pula mencecah RM443 juta – lebih parah kerana insiden kehilangan pesawat MH370.

Ahli Parlimen Ipoh Timur Thomas Su pula berkata, bertentangan dengan alasan Speaker, masalah kerugian MAS adalah isu penting kerana melibatkan kepentingan rakyat.

“Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk mendedahkan apakah sebenarnya masalah MAS sehingga menanggung kerugian besar sekian lama.

“Tidak cukup sekadar beritahu tindakan sudah diambil. Sepatutnya tiada apa-apa yang perlu disembunyikan kerajaan,” katanya dalam sidang media sama. -Roketkini.com