Berita

Berjalan kaki dari Pengerang untuk bertemu CEO Petronas

MANTIN, 10 JUN: Dalam misi untuk mempertahankan warisan nenek moyangnya, seorang penduduk tempatan nekad untuk berjalan kaki dari Pengerang ke Kuala Lumpur untuk menemui Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Petronas Tan Sri Shamsul Azhar Abbas.

Untuk misi ini, Chua Peng Sian, 49, atau lebih mesra dengan nama Ah Chai telah memulakan perjalanannya dari Pengerang pada 1 Jun lalu dan dijangka tiba di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur 11 Jun ini.

Beliau dijadualkan ke Menara Berkembar Petronas pada 12 Jun untuk bertemu dengan Shamsul Azhar bagi menyampaikan bantahannya berkaitan isu pemindahan tanah perkuburan Sungai Kapal untuk membuka laluan kepada projek Rapid di Pengerang.

Tanah Perkuburan Cina di Sungai Kapal, Pengerang, yang berusia ratusan tahun dan dianggap sebagai warisan penduduk setempat telah dipindahkan oleh kontraktor atas arahan Pejabat Daerah Kota Tinggi.

Ah Chai adalah antara waris yang tidak berpuas hati dan melancarkan misi nekad ini untuk menyampaikan bantahan kepada pihak Petronas.

“Saya berharap CEO Petronas sudi bertemu untuk mendengar sendiri keluhan dan bantahan waris serta penduduk Pengerang,” ujar Ah Chai ketika dihubungi Roketkini.

Pada hari ke-10 misi tersebut, Ah Chai telah sampai ke Tampin dan beliau dijangka sampai ke Semenyih pada hari ini dan seterusnya akan berehat dan bermalam di sana.

Ah Chai yang juga dikenali sebagai salah seorang penggerak utama Gabungan NGO Pengerang terlibat membantah secara konsisten projek Rapid di Pengerang sejak dua tahun lalu. Usaha kali ini adalah inisiatif beliau sendiri dengan dibantu oleh beberapa penduduk kampung di Pengerang.

Menurut Ah Chai, kos untuk misi ini ditanggung sepenuhnya oleh beliau sendiri dan juga bantuan dari orang kampung serta masyarakat di setiap hentian misi berjalan kaki tersebut.

“Saya bersyukur setakat ini begitu ramai masyarakat yang tampil memberi sokongan moral termasuk membantu membeli ubat-ubatan, makanan dan tempat tinggal kepada saya, saya merasa amat terharu,” katanya ketika berhenti rehat di sekitar Mantin.

Pada setiap hentian, tambahnya lagi, beliau akan bermalam di mana-mana tempat seperti di tokong dan rumah-rumah persatuan masyarakat.

Beliau ditemani oleh 12 orang penduduk kampungnya yang memastikan keselamatan dan kesihatan beliau terjaga.

Di setiap hentian, Ah Chai diraikan oleh rakan-rakan Pakatan Rakyat yang tampil membantu dan memberi sokongan moral.

Jarak perjalanan Ah Chai dari Pengerang ke Kuala Lumpur adalah 422 km. -Roketkini.com