Berita

Lagi kematian dalam tahanan, DAP pertikai ketelusan polis

DAP hari ini mempersoal akauntabiliti dan ketelusan pihak polis dalam menjalankan siasatan hingga menyebabkan kematian dalam tahanan makin meningkat.

Ahli Parlimen Ipoh Barat M Kulasegaran berkata, peningkatan kematian dalam tahanan juga telah menunjukkan secara jelas kelemahan, kelalaian serta ketidakmampuan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC).

Beliau berkata demikian merujuk kepada satu lagi kematian pada 7 Jun 2014 di Hospital Seberang Jaya.

“Baru-baru ini seorang banduan polis SN Aginraj, 26 tahun telah meninggal.

“Punca utama kematiannya adalah ketiadaan rawatan perubatan segera dan kelewatan menghantarnya ke hospital.

“Tujuh kematian banduan tahanan polis telah berlaku di Pulau Pinang dalam enam bulan ini. Apa sebenarnya yang dilakukan oleh polis?” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen.

Naib Pengerusi DAP itu juga menyelar keengganan kerajaan untuk menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) seperti dicadangkan oleh laporan Suruhanjaya Diraja 2005 dan sebaliknya meletakkan keyakinan pada EAIC.

“Banyak nyawa dapat diselamatkan seandainya IPCMC ditubuhkan,” ujarnya.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengatakan pada tahun 2013 bahawa IPCMC tidak diperlukan kerana negara sudah memiliki EAIC.

Pada 5 Jun lalu, EAIC telah mengumumkan bahawa sebuah pasukan penguatkuasa yang terdiri daripada lapan orang akan ditubuhkan bagi menyiasat punca kematian 2 tahanan pada 21 Mei di Kuala Lumpur dan 26 Mei di Pulau Pinang.

KPN turut berjanji EAIC akan memastikan polis mengikut segala prosedur (SOP) untuk mencegah ia dari terus berlaku.

“Pengumuman itu memang sedap didengar, namun sistem siasatan dalaman dan SOP tetap gagal serta ketinggalan zaman.

“Dalam situasi begini, siapa yang patut dipersalahkan dan menjelaskan keraguan yang timbul,” katanya. -Roketkini.com