Berita

Ingkar arahan mahkamah, DAP mohon KPN digenakan tindakan tegas

KUALA LUMPUR, 11 JUN: Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Khalid Abu Bakar perlu dikenakan tindakan tegas kerana telah menghina mahkamah berikutan kegagalan beliau mengembalikan semula hak penjagaan kanak-kanak kepada ibu yang mempunyai hak jagaan sah.

Ahli Parlimen DAP Kulai Teo Nie Ching berkata, keputusan mahkamah adalah sangat jelas bahawa penjagaan kanak-kanak adalah milik ibu mereka dan menjadi tanggungjawab polis untuk membantu mahkamah melaksanakan perintah itu.

“Malangnya, Khalid telah membuat keputusan yang begitu mengejutkan apabila secara terbuka mengatakan bahawa polis tidak akan memihak kepada keputusan mahkamah tetapi akan menempatkan mereka di pusat penjagaan kanak-kanak. Kenyataan ini secara terang-terangan telah menghina mahkamah.

“Jika terdapat sebarang kekaburan maklumat dari keputusan mahkamah, sememangnya sudah menjadi tugas polis untuk mendapatkan penjelasan atau arahan selanjutnya daripada mahkamah dan Khalid tidak boleh meletakkan kuasa kehakiman di tangannya dengan memilih sendiri untuk memberi ‘keadilan kepada mereka yang terlibat’,” tegasnya dalam kenyataan, hari ini.

Penolong Setiausaha Publisiti DAP itu berkata demikian merujuk kepada dua kes, iaitu M Indira Gandhi di Ipoh, Perak, yang sehingga kini tidak pernah bertemu dengan anak bongsunya walaupun Mahkamah Tinggi Ipoh telah memberikan hak penjagaan anak kepada beliau.

Di Seremban pula, pada 27 Mei lalu, Mahkamah Rayuan telah menolak permohonan N Viran atau nama Islamnya Izwan Abdullah dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Seremban yang memerintahkan hak penjagaan dua anak mereka diserahkan kepada ibunya iaitu S Deepa.

Minggu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri telah mengarahkan supaya polis mengambil langkah dengan mengembalikan anak kepada S Deepa kerana beliau mempunyai hak penjagaan sah.

Namun kata Nie Ching, sehingga kini masih tidak ada sebarang tindakan dibuat pihak polis.

“Mengapa KPN begitu angkuh dan tidak mahu mendengar arahan dari sesiapa, termasuk daripada seorang menteri?

“Untuk mengekalkan maruah, kuasa hakim dan mahkamah negara, tindakan harus dikenakan terhadap ibu-bapa yang menghinanya dengan enggan mengembalikan anak itu mengikut arahan mahkamah.

“KPN juga perlu dikenakan tindakan supaya tidak ada sesiapa yang berani mengengkari keputusan mahkamah pada masa akan datang,” katanya. -Roketkini.com