Berita

Menteri Pendidikan digesa jelaskan peruntukan RM560 juta untuk sekolah Tamil

KUALA LUMPUR, 11 JUN: Ahli Parlimen DAP Batu Gajah V Sivakumar menggesa Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin agar mendedahkan senarai nama sekolah Tamil yang telah menerima peruntukan RM560 juta sejak tahun 2009 sehingga 2013 dari kerajaan.

Beliau berkata, jika benar peruntukan besar itu telah diberikan mengapa masih terdapat begitu banyak sekolah-sekolah Tamil berada dalam keadaan uzur dengan prasarana yang buruk.

“Perkara ini saya bangkitkan dalam Dewan Rakyat pada 9 Jun lalu ketika membahaskan Rang Undang-Undang Yayasan Guru Tun Hussein Onn 2014.

“Muhyiddin perlu menyatakan nama-nama sekolah yang menerima peruntukan dan jumlah yang diberikan kepada mereka. Perkara ini perlu didedahkan segera supaya rakyat dapat mengetahui keadaan sebenar,” katanya dalam satu kenyataan.

Setiausaha Antarabangsa DAP itu menyatakan, setiap kali isu keuzuran sekolah-sekolah Tamil dibangkitkan, kerajaan sentiasa memberi alasan bahawa sejumlah besar telah diperuntukkan untuk membantu meningkatkan kebajikan sekolah itu.

“Adakah ini benar? Kalau benar, sudah pasti pembangunannya secara fizikal dapat dilihat. Malangnya ini tidak berlaku dan masih kekal berada dalam keadaan sama,” tegas beliau. -Roketkini.com