Berita

DAP minta Petronas peka sentimen penduduk Pengerang

KUALA LUMPUR, 12 JUN: DAP hari ini menyokong penuh usaha Chua Peng Siang yang datang ke Kuala Lumpur untuk menyerahkan memorandum bantahan terhadap projek Rapid Pengerang kepada Presiden Petronas Tan Sri Datuk Shamsul Azhar Abbas.

Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong berkata, jika Petronas merupakan syarikat korporat yang bertanggungjawab, beliau perlu menerima segala bantahan dikemukakan Ah Chai.

“Saya minta Petronas dan Presidennya peka pada sentimen penduduk Pengerang.

“Sesuatu projek itu tidak boleh dijalankan tanpa merujuk terlebih dahulu pada persekitaran penduduk setempat dan tanpa mempertimbangkan masalah yang akan dihadapi mereka,” kata Pengerusi DAP Johor itu dalam sidang media di Lobi Parlimen sebelum menerima memorandum dari Ah Chai.

Ahli Parlimen Bakri Er Teck Hwa juga menyokong tuntutan Ah Chai yang mewakili penduduk Pengerang itu.

Beliau menegaskan, beliau menyokong bantahan tersebut kerana pengambilalihan tanah kubur itu akan memberikan dampak besar dan ia sepatutnya dipulihara.

“Pembangunan yang ingin dilaksanakan tidak harus menghancurkan warisan sejarah dan mengancam kestabilan keharmonian masyarakat setempat.

“Saya harap Petronas dapat mengkaji semula proses pemindahan tanah kubur dan memberikan penjelasan terperinci setiap butiran soalan dari masyarakat Pengerang,” ujarnya. -Roketkini.com