Berita

SPR sengaja tidak daftar pengundi baru, elak tambah kerusi bandar?

KUALA LUMPUR, 12 JUN: Adakah Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) sengaja memperlahankan usaha pendaftaran pengundi baru kerana tidak ingin menambah kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN), terutama di kawasan bandar yang memihak kepada Pakatan?

Dalam satu kenyataan media hari ini, Strategis Pilihanraya DAP Ong Kian Ming berkata, tindakan SPR yang tidak memperbaharui status Pembantu Pendaftar (ARO) parti politik yang berperanan mendaftar pengundi menyebabkan bilangan pengundi baru merosot secara konsisten sejak suku pertama 2013.

“Berdasarkan data, jumlah pengundi baru pada suku pertama 2013 adalah 104,222. Sejak itu, jumlah itu berkurangan pada setiap suku. Untuk suku kedua, pertambahan pengundi adalah 47,671 dan suku ketiga pula hanya 8434.

“Bermula suku keempat 2013, jumlah pertambahan adalah negatif iaitu -7941, yang bermakna jumlah pengundi dalam daftar berkurang. Yang terbaru, iaitu untuk suku pertama 2014, jumlahnya adalah -11565,” katanya.

Katanya lagi, antara sebab jumlah pengundi berkurang adalah kerana SPR tidak aktif mendaftarkan pengundi baru, serta tiada lagi ARO yang banyak membantu SPR dalam menjalankan pendaftaran.

“Sebelum ini, SPR banyak bergantung kepada ARO parti politik. Namun kini kami tidak boleh lagi mendaftar pengundi baru.

“Kita tidak boleh mengelak daripada mengesyaki SPR sengaja memperlahan penambahan pengundi, kerana banyak pengundi baru ada di kawasan bandar yang menyokong Pakatan dalam Pilihanraya Umum lalu. Ini bermakna kurang tekanan untuk mereka menambah kerusi Parlimen dan DUN pada persempadanan semula akan datang,” katanya lagi.

Ketika beliau membangkitkan soalan ini dua hari lalu kepada menteri yang bertanggungjawab ke atas SPR, iaitu Datuk Seri Shahidan Kassim, beliau menjelaskan bahawa tiada perancangan untuk memperbaharui status ARO kerana penyelarasan proses pendaftaran sedang dijalankan.

“Saya juga ada baca laporan SPR tidak ingin memperbaharui status ARO kerana ada sebahagian yang menyalahgunakannya untuk mendaftar pengundi tanpa pengetahuan pemilih, serta memberikan wang kepada sesiapa yang mendaftar.

Menyifatkan jawapan Shahidan sebagai tidak memuaskan, beliau menyeru SPR memperbaharui semula status ARO dan hanya mengambil tindakan kepada ARO yang melakukan kesalahan.

“Hanya dengan bantuan parti politik SPR dapat mendaftar lebih banyak pengundi baru dan mengurangkan bilangan pemilih layak yang tidak berdaftar. Melainkan jika SPR bercadang untuk melaksanakan pengundian automatik,” katanya lagi. – Roketkini.com