Berita

Baiki kemudahan untuk tingkatkan kadar wanita bekerja

KUALA LUMPUR, 13 JUN: Kerajaan perlu terus menambah baik suasana tempat kerja kepada golongan wanita di sektor kerajaan mahu pun swasta, demi mencapai sasaran 55 peratus penyertaan tenaga kerja wanita pada tahun 2015.

Tanpa menidakkan usaha kerajaan yang sedia ada, Setiausaha Wanita DAP Teo Nie Ching berharap usaha itu dapat ditingkatkan, terutama bagi golongan ibu yang baru melahirkan anak dan ingin menyusukan sendiri anak mereka.

“Soalan saya berhubung pendekatan mempromosikan serta membantu ibu yang bekerja untuk terus menyusukan anak dijawab Menteri Kesihatan Datuk Seri S Subramaniam.

“Sebagai usaha untuk mempromosikannya, penjawat awam kini berhak mendapat tiga bulan cuti bersalin dan botol susu tidak dibenarkan di hospital kerajaan. Namun, cabaran untuk terus menyusukan anak bagi tempoh paling kurang enam bulan, dan sebaik-baiknya sehingga dua tahun hanya bermula ketika mereka kembali bekerja,” kata Ahli Parlimen Kulai itu dalam satu kenyataan semalam.

Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2006 menunjukkan peratusan ibu yang menyusukan sendiri anaknya sehingga empat bulan adalah 19.3 peratus, sementara sehingga enam bulan adalah 14.5 peratus – jauh lebih rendah daripada kadar global, iaitu pada 38 peratus.

Menurut laporan itu lagi, kajian mencadangkan penurunan mendadak selepas dua bulan itu disebabkan kesan daripada sekembalinya wanita ke tempat kerja.

Justeru, beliau mencadangkan kerajaan mencontohi negara seperti Amerika Syarikat (AS), Belanda dan Filipina bagi menambah baik keadaan itu.

“Di AS, Fair Labour Standards Act (FLSA) 1938 yang dipinda pada tahun 2012 mewajibkan majikan menyediakan waktu rehat yang sesuai untuk pekerja mengepam susu badan untuk anaknya selama setahun selepas kelahiran setiap kali pekerja itu perlu berbuat demikian. Majikan juga perlu menyediakan tempat selain tandas buat mereka.

“Bagi Filipina, Expanded Breastfeeding Promotion Act (BPA) 2009 bukan sahaja mewajibkan majikan menyediakan stesen laktasi, namun juga ‘tempoh laktasi’ untuk pekerja mereka – selain waktu rehat – untuk membenarkan mereka mengepam susu. Perbelanjaan bagi mematuhinya akan ditolak daripada cukai pendapatan, yang boleh mencecah dua kali ganda daripada jumlah yang dibelanjakan.

“Undang-undang Belanda, majikan diwajibkan menyediakan bilik penyusuan yang sesuai untuk sembilan bulan pertama, dan membenarkan 25 peratus waktu kerja digunakan untuk tujuan itu. Selepas tempoh itu, majikan masih perlu memastikan keadaan yang sesuai, namun tidak lagi perlu membayar gaji untuk tempoh penyusuan,” katanya lagi.

Justeru, beliau menggesa menimbang cadangan ini untuk dilaksanakan di sini bagi meningkatkan peratusan tenaga kerja wanita menjelang tahun 2015.

“Bagi mencapai sasaran 55 peratus itu, sangat penting untuk kerajaan membaiki suasana di tempat kerja, di sektor awam mahu pun swasta, agar ia menjadi lebih selesa dan mesra-golongan ibu (mother-friendly),” katanya lagi. – Roketkini.com