Berita

Gobind mulakan siri laporan polis di seluruh negara ke atas KPN

KUALA LUMPUR, 15 JUN: Ketua Biro Undang-undang DAP Gobind Singh Deo hari ini memulakan siri laporan polis DAP ke atas Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Khalid Abu Bakar berhubung keengganannya menguatkuasakan perintah mahkamah sivil dalam kes hak penjagaan anak dua pasangan berbeza agama.

Laporan dibuat di Balai Polis Cheras pada jam 12 tengah hari tadi.

Turut bersama-sama beliau adalah Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh, Ahli Parlimen Ipoh Barat yang juga peguam kepada M Indira Gandhi M Kulasegaran dan Ahli Dewan Undangan Negeri Senawang P Gunasekaran.

Gobind dalam laporannya berkata, kenyataan Khalid bahawa beliau tidak akan menguatkuasakan keputusan mahkamah memberi kesan buruk kepada sistem keadilan dan meminta polis menyiasatnya dengan secepat mungkin.

“Beliau berkata bahawa dalam kes-kes melibatkan keputusan hak penjagaan anak yang berbeza oleh mahkamah sivil dan mahkamah syariah, pihak polis tidak akan melaksanakan keputusan tersebut.

“Kenyataan tersebut mempunyai kesan yang berat kerana melibatkan perintah mahkamah yang harus dilaksanakan…(Jika tidak dilaksanakan) sistem keadilan akan tergugat dan keyakinan masyarakat terhadap sistem kehakiman negara turut merosot,” sebut laporan itu.

DAP semalam mengumumkan, Jawatankuasa Wanita dan Pemuda Negeri akan mula membuat laporan polis ke seluruh negara berhubung kegagalan Khalid ini.

Dalam kes perebutan hak penjagaan antara M Indira Gandhi dengan Mohd Ridzuan Abdullah serta S Deepa dengan Izwan Abdullah, keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh dan Mahkamah Rayuan masing-masing berpihak kepada Indira dan Deepa.

Ramkarpal melalui akaun twitternya turut berharap polis selaku badan penguatkuasa menjalankan tanggungjawabnya.

“Saya mengiringi Gobind membuat laporan polis ke atas KPN berhubung tindakannya tidak menguatkuasakan perintah mahkamah. Jika polis tidak membantu, siapa lagi yang kita boleh harapkan?” katanya. -Roketkini.com