KUALA LUMPUR, 16 JUN: Melalui lima akta, kerajaan berupaya memintas komunikasi dan perbualan rakyat sama ada melalui emel, sistem telekomunikasi atau pos.
Perkara itu didedahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Nancy Shukri yang menjelaskan bahawa Pendakwaraya (DPP) berkuasa membenarkan polis membuat pintasan jika berpendapat komunikasi itu mungkin mengandungi maklumat berhubung pelakuan kesalahan.
Nancy menjawab soalan ahli parlimen Kluang Liew Chin Tong berhubung jumlah kes yang dibenarkan Timbalan Pendakwaraya bagi pemintasan emel, telekomunikasi dan pos mengikut pecahan ahli politik, suspek jenayah dan orang awam semenjak 1998 hingga 2014.
“Adakah ini bermakna sebelum 2009 terdapat banyak berlaku pintasan telefon? Apa yang berlaku antara tahun 1998 dan 2009?” soal Chin Tong seperti dilaporkan Malaysiakini.
Nancy bagaimanapun dalam jawapan bertulisnya tidak menjawab secara jelas soalan dibangkitkan Liew Chin Tong.
“Kerajaan perlu bersikap lebih telus,” tegas Chin Tong yang juga Pengerusi DAP Johor.
Menurut JPM, lima akta digunakan pihak berkuasa bagi membuat pintasan maklumat bagi tujuan siasatan ialah Seksyen 116C Kanun Atacara Jenayah, Seksyen 27A Akta Dadah Merbahaya dan Seksyen 11 Akta Penculikan.
Selain itu ialah Seksyen 43 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Seksyen 6 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas),
Pintasan yang dilakukan atas nama siasatan itu merangkumi tindakan ‘memintas, menahan dan membuka apa-apa barang pos dalam penghantaran pos, memintas apa-apa mesej yang dihantar atau diterima oleh apa-apa komunikasi, atau memintas, mendengar atau merekodkan apa-apa perbualan dengan komunikasi’.