Berita

Kerajaan galak orang muda bertani, tapi mana tanahnya?

KUALA LUMPUR, 16 JUN: Saranan kerajaan mempelawa golongan muda melibatkan diri dalam sektor pertanian dialu-alukan, namun inisiatif tersebut masih menjadi tanda tanya, kata Ahli Parlimen Batu Gajah V Sivakumar.

Dalam jawapan bertulis kepada Sivakumar hari ini, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menyatakan, kementerian mengambil pelbagai langkah membantu golongan muda yang mahu menceburi bidang pertanian.

“Jika tidak sanggup menyediakan tanah, macam mana golongan muda hendak menceburinya?

“Memang senang untuk mempelawa graduan-graduan baru menceburi bidang pertanian tetapi boleh kerajaan membantu mereka? Pernahkah Tajuddin tahu masalah sebenar yang dihadapi petani-petani?” soal Sivakumar dalam kenyataannya hari ini.

Kata Sivakumar, petani tidak boleh mengusahakan tanah dimiliki pihak swasta, dalam masa sama tanah kerajaan juga tidak mudah diperolehi atas pelbagai alasan.

Menurut maklumat di laman rasmi Jabatan Pertanian Malaysia, sehingga 2014 seluas 119,273.38 hektar tanah terbiar dengan status pertanian melibatkan 69,734 lot di Semenanjung Malaysia termasuk di Wilayah Persekutuan Labuan.

Malah sebelum ini, Jabatan Perdana Menteri melalui Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) mengkaji untuk memberikan status hak milik sementara (TOL) ke atas tanah terbiar dan milik kerajaan seluruh negara yang tidak digunakan lagi bagi tujuan pertanian.

Justeru, Sivakumar mendesak Tajuddin melaksanakan satu garis panduan bagi menangani masalah dihadapi petani-petani yang mengusahakan tanah kerajaan secara haram.

“Masalah ini perlu diselesaikan terlebih dulu dengan satu mekanisme baru melalui kerjasama kerajaan-kerajaan negeri.

“Di Malaysia, ramai terpaksa mengusahakan pertanian secara haram berikutan Pejabat Tanah sentiasa menolak permohonan tanah pertanian. Mereka juga sukar memperoleh lesen menduduki sementera (TOL).

“Seringkali mereka menghadapi gangguan daripada pihak kerajaan, seperti diberikan notis keluar daripada kawasan yang diusahakan kerana ada projek lain tanpa diberikan tanah gantian

“Kerajaan perlu sedar, walaupun mereka melakukan aktiviti pertanian secara haram, tapi sumbangannya kepada kemajuan ekonomi dan pembangunan tidak boleh dinafikan,” ujar Sivakumar – Roketkini.com