Sastera

Telefon genggam dengan daftar namamu

Aku padamkan lampu kamar yang berlantaikan jubin hitam-putih bersaiz kecil dengan dinding simen yang pudar warna hijaunya, duduk di depan tivi yang dibiarkan padam, dan berharap suasana akan kembali tenang. Laporan cuaca untuk jiwa-jiwa yang tak sedar sudah kering-kontang. Hujan ribut yang tak pernah dikehendaki. Hanya halilintar yang didoakan, yang datangnya nanti seperti cemeti melibas terus ke muka.

Kota ini terlalu bingit untuk telingaku yang sedang sakit. Embassy Hotel, 7.16 senja. Perempuan-perempuan yang sedang bergelinjang dalam bayangan mereka sendiri, yang aku temui tadi di kamar sebelah mengajarkan aku tentang satu perkara; realiti sedang berada dalam kepala. Imaginasi dan salah-erti sebaliknya sedang disogok di depan mata dan minta dipercaya untuk disebatikan dengan iman, tanpa sedar. Aku penggal ingatan terhadap mereka selepas itu, tanpa rasa tanggungjawab untuk tahu mengapa aku berbuat demikian.

Manusia sudah lelah untuk menjadi manusia, kau selalu berkata. Mereka kini memilih untuk menjadi satu di antara dua; binatang atau malaikat – bahkan ada yang sampai berani untuk mengambil alih tampuk Tuhan. Seekor merpati putih yang engkar kepada malam dan rumahnya yang entah di mana, hinggap dan duduk diam di tubir tingkap. Aku teringatkan Sang Pencipta yang sangat luhur dengan bayang warna putih jatuh ke lantai ketika ada sisa cahaya matahari mencapah luas; bayang yang sama hadir dan terpancar seperti merpati putih yang sedang dalam kerinduan ditinggalkan bersendirian ini.

“Gelora dalam hati, siapa yang tahu?” Berulang-ulang aku teringatkan kata-katamu, dari teks pesanan ringkas yang kau kirimkan ke telefon genggamku yang luput tarikh baki kreditnya. Aku tak membalas mesej itu bukan kerana aku tak peduli, tetapi teknologi yang melingkar dalam segenap hidup kita ini bukanlah sesuatu yang bernyawa dan berasa; ketika diperlukan untuk menyampaikan maksud yang sewajarnya, ia akan berdusta kerana tak mampu membawa emosi untuk dikirimkan bersama.

Aku senang untuk terus dibiarkan dalam ruang yang makin malap begini. Sebuah kamar dengan jendela kaca berbingkaikan besi lama, lampu kalimantang kekuningan yang dipadamkan awal tadi, tilam nipis yang kusam dan sebuah ingatan yang terlalu setia. Aku tak pernah mengeluh tentang semua itu. Kerana yang menerangi bukanlah dian di tanganmu, tetapi jantungku sendiri yang bersedia untuk dibakar. Tangan dan mataku masih terpaku pada paparan telefon genggam. Bateri masih berbaki separuh. Nyawaku ditambah dua paruh. Tetapi, dalam ruang sebegitu, aku gagal untuk melihat diriku sendiri.

Aku memandang lagi ke arah merpati putih yang entah kenapa masih setia menemani; ia barangkali malaikat dengan sayap sakti yang diutuskan untuk memerhatikan aku, takut-takut aku malu untuk mengaku dan menjadi manusia semula. Setelah kau, aku hanya ada memori yang tajam. Aku mengingati setiap baris ayat yang pernah aku tuliskan pada tubuhmu, yang semula akan kau bacakan dalam tangis dan esak yang dalam ketika aku tidak lagi di sini. Aku terlalu takut untuk membayangkan itu, kerana, jangan lupa, realiti berada dalam kepala. Imaginasi adalah apa yang kau dan aku lihat setiap hari di depan mata.

Begitupun, aku khuatir kalau-kalau hukum alam akan sentiasa mencemburui kita – seperti selalu, sentiasa bersedia menyiat-nyiat kulit dan membiarkan kita tersidai dalam lelah yang menunggu mati, seperti kata-katamu yang pernah kau tuliskan dalam secebis kertas yang kemudiannya kau masukkan ke dalam saku depan kemejaku ketika kita bercumbu kelmarin. Tanpa pengetahuanku. Dan itu menyeramkan – ketika aku menemukan lalu membacanya tanpamu di sisi.

Tetapi, kau dan aku tahu yang kita bukanlah serumit itu. Aku pernah mendengar bisikan halus di telinga kiri, yang meminta aku memadamkan nombor telefonmu, sebuah tindak kecil yang maksudnya serupa dengan membunuhmu dari masa silamku. Tetapi, kau tahu sesuatu? Aku tak dapat mendengar apa yang kau tuturkan pada kebanyakan waktu dalam suara jerit yang gemuruh. Aku lebih senang mendengar bisikanmu yang manja, yang berupaya untuk terus membawa aku kepada apa yang aku bilang untuk kali ketiga kini; realiti yang berada dalam kepala. Jadi, nombor telefonmu ini bagaimana?

Aku tak ingin memikirkan apa-apa. Aku hanya ingin ditinggalkan di sini buat sementara waktu. Dan ingatanmu juga aku hambat keluar dari kamar ini, biar aku berselubung sebentar, dengan harapan itu nanti akan membuatkan aku kembali menemui manusia dalam diri sendiri. Aku tak akan pernah mampu untuk menahan dirimu yang ingin terbang tinggi. Yang selalu memandang dengan sisi mata terhadap diriku, dalam jalanmu yang katanya ingin membawakan watak yang lain di dalam baki usia selebihnya.

Langkau malaikat, kau barangkali ingin terus melompat dan merampas kerusi Tuhan. Aku masih memandang telefon genggamku pada paparan daftar nama dengan nombor telefonmu. Aku hanya terfikir, aku memang boleh memadamkan namamu dan nombormu sekaligus kemudian terus membunuhmu dari dalam kepala, menyediakan ruang itu untuk orang lain. Tetapi aku tak akan pernah mampu memadamkan ingatanmu terhadapku, dan mereka. Juga dosa-dosamu yang selalu kau kirimkan bersama lewat pesanan ringkas ke telefon genggamku.