Berita

Jamil Khir kelirukan Dewan, DAP usul bawa ke J’kuasa Hak & Kebebasan

KUALA LUMPUR, 17 JUN: Ahli Parlimen Sibu Oscar Ling Chai Yew mendesak Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen berhubung kenyataan ‘mengelirukan’ bahawa Malaysia bukan negara sekular.

Usul difailkan mengikut Peraturan Mesyuarat 36(12) kerana mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan Dewan.

“Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia bersetuju memanggil Jamil Khir bagi memberi penjelasan,” kata Oscar pada sidang media di Parlimen hari ini.

Menjawab soalan Oscar di Parlimen semalam, Jamil berkata Malaysia bukan negara sekular bersandarkan fakta sejarah dan Islam yang menjadi agama Persekutuan.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang menyangkal jawapan itu dan mempersoalkan kapasiti Jamil menjawab isu tersebut.

“Soalan Oscar ditujukan kepada Perdana Menteri (PM). Jika PM gagal hadir, jawapan sepatutnya diberikan Menteri bertanggunjawab dalam hal-ehwal undang-undang, Nancy Shukri.

“Siapa Jamil ingin menjawab soalan itu. Apakah portfolio beliau?” kata Kit Siang pada sidang media sama.

Beliau turut mendesak Datuk Seri Najib Razak menyatakan pendirian selepas mesyuarat kabinet Jumaat ini sama ada bersetuju dengan jawapan Jamil.

“Beliau patut nyatakan sama ada kenyataan Jamil adalah dasar rasmi kerajaan atau pun menafikannya. Jika beliau setuju, bila persetujuan dicapai dan adakah mengambil kira semua parti komponen BN,” katanya lagi.

Pengasas negara akan terkejut

Mengulas lanjut, Kit Siang berkata, tokoh-tokoh pengasas negara pasti ‘terkejut’ dengan jawapan tersebut.

“Tiga Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan Tun Hussein Onn, serta pengasas Perikatan pasti terkejut,” kata Ahli Parlimen Gelang Patah itu.

Katanya, memorandum Perikatan 1957 dan Suruhanjaya Cobbold pada 1963 menyatakan, taraf Islam sebagai agama rasmi tidak bermakna Malaysia bukan negara sekular.

“Jaminan itu diberikan kepada Sabah dan Sarawak ketika penubuhan Malaysia. Jawapan Jamil memberikan kesan besar dan berisiko memecahkan (Persekutuan) Malaysia,” kata Kit Siang. – Roketkini.com