KUALA LUMPUR, 17 JUN: Ahli Parlimen Bakri Er Teck Hwa menempelak sikap Datuk Seri Najib Razak yang kerap ‘ponteng’ sidang Parlimen sepanjang menjadi Perdana Menteri.
Menurutnya, selepas lima tahun menjadi Perdana Menteri semenjak 2009, Najib hanya 26 kali hadir ke Dewan Rakyat sepanjang 358 hari persidangan.
“Tanggungjawab Perdana Menteri dan seluruh jemaah Menteri menjawab setiap pertanyaan.
“Malangnya, kadar kehadiran beliau, sama ada untuk menjawab soalan mahu pun menyertai perbahasan dengan Ketua Pembangkang, adalah sangat rendah,” kata Er pada sidang media di Parlimen hari ini.
Beliau memetik Penyata Rasmi Dewan Rakyat yang menyatakan Najib hanya hadir ke Dewan Rakyat tidak sampai dua jam secara purata – dengan pengecualian ketika ucapan tetap – dari tahun 2009 sehingga kini.
Malah Najib tidak hadir ketika giliran ucapan Ketua Pembangkang pada sesi perbahasan Belanjawan.
“Jika guru merotan pelajar yang ponteng kelas – adakah rakyat perlu merotan Najib?” kata Er, sinis.
Er cuba membangkitkan isu tersebut dalam ucapan penangguhannya esok, namun ditolak Setiausaha Dewan Rakyat atas alasan ia ‘bukanlah berkenaan apa-apa perkara tadbir dalam tanggungan Kerajaan’.
Alasan itu seolah-olah menunjukkan kehadiran Perdana Menteri selaku ketua kerajaan ke Dewan Rakyat bukan perkara utama.
“Adakah Perdana Menteri dan kerajaan tidak memahami tanggungjawab mereka? Parlimen adalah cabang pengasingan kuasa (legislatif) yang berperanan untuk semak dan imbang perlaksanaan dasar dan tugas Eksekutif,” tegas Er.
Beliau kini merayu kepada Dewan Rakyat bagi mendapatkan perisytiharan berhubung soal kehadiran Najib serta penubuhan Jawatankuasa Pilihan Parlimen bagi mempertimbang sesi soal jawab khas bersama Perdana Menteri setiap minggu bermula sesi Parlimen akan datang.
Er turut menyeru semua Ahli Parlimen menyokong cadangannya dengan menurunkan tandatangan pada surat rayuan dengan objektif merealisasikan kualiti pernahasan di Parlimen Malaysia bertaraf dunia.
“Sesi soal jawab itu penting memandangkan isu yang diutarakan dalam soalan lisan dan bertulis sudah ‘ketinggalan zaman’ (ketika jawapan diberikan),” tegas Er. – Roketkini.com