Berita

Runding terus projek Track 4A, bukti kroni-kapitalisme ala Mahathir membiak

KUALA LUMPUR, 17 JUN: Langkah kerajaan menganugerahkan projek Loji Janakuasa Track 4A secara runding terus kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB), YTL Power dan SIPP Tenaga Sdn Bhd bukti kroni kapitalisme ala Mahathir semakin membiak di Malaysia.

Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara Tony Pua berkata, projek itu bukan saja dilakukan secara runding terus, tetapi ‘terma yang samar-samar, tidak spesifik dan disediakan dengan tergesa-gesa’ seolah-olah menyembunyikan sesuatu.

“Saiz loji janakuasa dan tarif sebenar tidak ditetapkan – mereka menyatakan ia mesti setanding dengan tender terakhir.

“Pemberian projek Track 4A bernilai RM3 bilion kepada konsortium YTL, SIPP dan TNB sebenarnya tindakan memujuk mereka akibat kegagalan memperoleh projek 3A bernilai RM11 bilion yang dianugerah kepada 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

“Amat mengejutkan TNB boleh memberi konsesi 20 tahun kepada syarikat yang mereka sendiri tidak tahu akan bekerjasama,” kata Tony dalam kenyataannya hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif TNB Dato Seri Azman Mohd semalam berkata, perbincangan mengenai perkara itu belum dibuat dan pihaknya tidak menjadi sebahagian konsortium.

Suruhanjaya Tenaga bulan lalu menyatakan, projek Loji Janakuasa Gas-Turbin Projek 4A 1,000-1,400MW diberi kepada ketiga-tiga syarikat ini berdasarkan proses tender bagi projek Track 3B kerana memerlukan satu lagi janakuasa dengan segera.

Projek dianugerah dalam tempoh tiga bulan selepas kerajaan menyerahkan Projek 3A kepada 1MDB untuk membina dan mengendali loji janakuasa arang batu walaupun syarikat itu tidak memberikan tarif terendah melalui proses tender.

“Rakyat boleh menyimpulkan daripada lawak jenaka ini, keputusan kerajaan mempercepat pemberian Projek 4A tanpa sebarang tender hanya untuk menenangkan hati YTL dan SIPP yang tertipu dengan pemberian Projek 3B,” ujar Setiausaha Publisiti DAP itu.

“Bila itu berlaku, Najib ‘akan menafikan semua kesalahan kerajaan ‘ atau mengatakan ‘tidak ada pilihan lain’, kerajaan terpaksa lakukannya,’ kata Tony sambil menambah bahawa langkah tersebut bakal menyebabkan tarif elektrik lebih tinggi di masa akan datang.

“Persoalannya, adakah tindakan ini dibuat untuk memastikan 1MDB, yang kini menghadapi kesulitan kewangan dan dibebankan hutang RM37 bilion, akan memenangi konsesi?” soal Tony. – Roketkini.com