Berita

Landasan KLIA2: Tak keluar modal, syarikat swasta untung atas angin

KUALA LUMPUR, 17 JUN: Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim Chee Keong menggesa Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) dan Jabatan Audit Negara menyiasat dan menilai semula projek landasan tambahan menghubungkan KLIA dan KLIA2.

Menurut Steven, Express Rail Link Sdn Bhd (ERLSB) bakal mengaut untung atas angin kira-kira RM100 juta kerana kos pembinaan landasan tambahan tidak ditanggung syarikat itu, sebaliknya menggunakan dana kerajaan.

“Adakah ini bermakna kerajaan menggunakan wang pembayar cukai untuk membayar kepada ERLSB bagi membina infrastruktur milik syarikat itu dan kemudian membenarkan membuat lebih untung daripadanya? kata Steven pada sidang media di Dewan Rakyat, hari ini.

ERLSB, pemegang konsesi 30 tahun pengendali landasan KL Sentral-KLIA sebelum ini menggunakan dana sendiri ketika membina landasan menghubungkan KL Sentral dan KLIA.

Steven turut merujuk laporan New Straits Times 31 Mei lalu yang menyatakan landasan 2.2 kilometer itu dibina ERLSB, bukannya Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) seperti dinyatakan sebelum ini.

Lanjutan itu pada 28 April lalu, Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamed mempersoal tambahan kos pembinaan landasan itu yang sepatutnya termasuk dalam peruntukan RM582 juta kepada MAHB.

Memetik analisis CIMB Research Steven berkata, projek tersebut dijangka memberikan keuntungan RM89 juta setahun kepada pemegang saham utama ERLSB, YTL Corporation Berhad.

“Berdasarkan persetujuan dengan kerajaan, caj RM5 daripada setiap cukai lapangan terbang daripada KLIA ke KLIA2 dibayar kepada ERLSB.

“Jika benar, ERLSB mendapat untung berganda, seperti menjaringkan dua gol ketika perlawanan belum pun bermula,” kata Steven.

Menurut laman KLIA Express, YTL memegang 50 peratus saham ERLSB, selain Lembaga Tabung Haji Berhad (40 peratus) dan Trisilco Equity Sdn Bhd (10 peratus).

Pada sidang sama, Ahli Parlimen Stampin Julian Tan Kok Ping menggesa PAC mengkaji isu ini, memandangkan layanan terlalu istimewa diterima ERLSB daripada kerajaan dengan mengorbankan wang rakyat.

“Rakyat berhak untuk tahu, adakah begini caranya kerajaan beroperasi terutama berhubung isu suntikan dana (kepada syarikat swasta)?” soal Julian – Roketkini.com