Berita

Jamil Khir ‘flip-flop’, wajar diseret ke J’kuasa Hak & Kebebasan

KUALA LUMPUR, 18 JUN: Jawapan berdolak-dalik (flip-flop) Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom di Dewan Rakyat mewajarkannya dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

Ahli Parlimen Tanjong Ng Wei Aik berkata, berdasarkan pertanyaan lisannya berhubung pendirian kerajaan terhadap pelaksanaan hukum hudud, Jamil memberikan jawapan yang bercanggah dan menimbulkan banyak kesangsian.

“Berdasarkan petikan Hansard Dewan 27 Mac lalu, Jamil mengatakan bahawa kerajaan menyokong hudud dan bersetuju agar ia diangkat dalam pelbagai bentuk termasuk Bil Persendirian serta bersedia mendukungnya.

“Namun dalam jawapan kepada pertanyaan lisan saya pada 11 Jun lalu, beliau tidak dapat menyatakan apakah pendirian terkini kerajaan dan banyak berdolak-dalik terhadap hukum hudud yang mereka persetujui.

“Ini ternyata amat mengelirukan. Sekejap macam tu, sekejap macam ni. Saya yakin jawapan Jamil bukan yang dipersetujui dalam mesyuarat Kabinet, tapi hanya pendirian peribadi,” kata Ng kepada Roketkini.

Beliau menegaskan, tindakan Jamil ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan bertujuan ia tidak berulang lagi di masa akan datang.

Ng turut menyerahkan surat rasmi kepada Pejabat Speaker Pandikar Amin pagi ini agar usul merujuk Jamil ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen di bawah Peraturan Mesyuarat 36(12) disegerakan.

“Saya berharap usul ini dapat dikemuka serta diputuskan segera selewatnya esok,” tegas Wei Aik.

Semalam, Ahli Parlimen Sibu Oscar Ling Chai Yew mendesak Jamil di heret ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan di bawah peraturan mesyuarat yang sama. – Roketkini.com