Berita

Isu tukar agama anak, kenyataan Jamil Khir bercanggah

KUALA LUMPUR, 18 JUN: Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Jamil Khir bercanggah dengan pendirian kerajaan dalam isu pertukaran agama anak-anak tanpa keizinan ibu-bapa.

Ahli Parlimen DAP Ipoh Barat M Kulasegaran berkata, dalam soalan lisannya Dewan Rakyat semalam, beliau menggesa kerajaan menyatakan perubahan undang-undang yang mengimplementasi keputusan pada 2009 supaya mengharamkan kes berkaitan penukaran agama tersebut.

Kata Kulasegaran, jawapan kepadanya bercanggah dengan yang diterima Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo, 11 Jun lalu.

“Jamil dalam jawapan kepada Gobind mengatakan kerajaan sedang ‘belajar’ mencari mekanisme agar dapat menyelesaikan isu itu, sekaligus meminda tiga undang-undangnya.

“Bila saya menanyakan soalan sama semalam, jawapan lain yang menyimpang jauh daripada jawapan kepada Gobind dan keputusan Kabinet pada 2009.

“Beliau (Jamil) mengatakan kerajaan tidak bercadang membuat sebarang pindaan terhadap peruntukan undang-undang berkenaan dan mendakwa dalam contoh kes Shamala Sathiyaseelan memadai dirujuk berdasarkan Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan.

“Saya ingin tahu apakah kerajaan telah membuat ‘pusingan u’ pada keputusan 2009 yang mengharamkan penukaran unilateral bawah umur?

“Jika ya, bilakah kabinet melakukan ‘pusingan u’ itu?, soalnya dalam sidang media bersama Ahli Parlimen Kota Melaka Sim Tong Him dan Ahli Parlimen Batu Kawan Kasthuri Patto.

Kabinet pada 2009 mengarahkan jika wujud sebarang pertikaian berkaitan, seorang kanak-kanak perlu menganut agama kedua ibu-bapanya semasa berkahwin.

Namun Jamil dalam kenyataannya hari ini berkata, Perlembagaan Persekutuan membenarkan penukaran agama anak secara sepihak tanpa kebenaran kedua-dua ibu bapa.

Kulasegaran yang juga Naib Pengerusi DAP turut mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak berdiam diri dan perlu menjelaskan segera pendirian Kabinet dalam isu ini.

“Ini amat mengecewakan, selepas lebih daripada 5 tahun, kerajaan masih tidak dapat memenuhi janji untuk memperkenalkan perubahan undang-undang yang akan dimasukkan dalam keputusan Kabinet pada 2009.

“Jika kerajaan masih komited kepada keputusan Kabinet pada April 2009, Najib mesti bersedia untuk membentangkan perubahan undang-undang di Parlimen dengan segera,” kata Kulasegaran. – Roketkini.com