Berita

1Malaysia hanya gimik politik, BN tak hormat hak bukan Islam

KUALA LUMPUR 19 JUN: Slogan 1Malaysia yang kononnya mencerminkan kesederhanaan dilaungkan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib ternyata hanya gimik politik Barisan Nasional apabila ia tidak menghormati hak-hak bukan-Muslim.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, gimik politik itu terbukti apabila Malaysia diisytiharkan sebagai bukan negara sekular dan hak ibu-bapa bukan-Muslim ke atas anak mereka sendiri tidak dihormati.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato’ Seri Jamil Khir Baharom mengisytiharkan menerusi jawapan secara bertulis di Parlimen kepada soalan Ahli Parlimen DAP Sibu Oscar Ling bahawa Malaysia bukan negara sekular, sebaliknya sebuah negara Islam.

Mengulas perkara itu, Guan Eng menegaskan bahawa DAP menentang percubaan melampau BN untuk mengubah sifat asas Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia tahun 1963 yang jelas adalah sekular.

“Kerajaan BN mengambil langkah berlawanan dengan perlembagaan kerana Mahkamah Agung pada tahun 1988, dalam kes Che Omar Che Soh vs Pendakwaraya, telah memutuskan bahawa undang-undang negara ini adalah sekular.

“Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman pula telah menyatakan di Parlimen pada 1 Mei 1958 bahawa ‘Saya ingin menyatakan dengan jelas bahawa negara ini bukan sebuah negara Islam seperti yang difahami umum; kita hanya menetapkan Islam sebagai agama rasmi negara,’” tegas Guan Eng.

Beliau turut menyelar Jamil Khir yang membuat kejutan kedua dengan menyatakan dalam jawapannya kepada soalan Ahli Parlimen DAP Ipoh Barat M Kulasegaran bahawa menurut Perlembagaan, persetujuan salah seorang ibu atau bapa memadai untuk menukar agama seseorang anak.

“Pengumuman Jamil Khir itu bertentangan dengan keputusan kabinet pada tahun 2009 yang melarang penukaran agama kanak-kanak bawah umum oleh hanya salah seorang ibu atau bapa, seperti yang diumumkan oleh bekas menteri undang-undang Datuk Seri Nazri Abdul Aziz,” jelas beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan.

Menurut beliau lagi, penukaran agama secara sepihak tidak boleh dibenarkan kerana ia mengabaikan dan menafikan hak ibu atau bapa buan-Muslim ke atas anak mereka sendiri.

“DAP akan menentang usaha anasir pelampau dan rasis dalam BN untuk mengubah sifat dan identiti Perlembagaan Persekutuan serta mengganggu keharmonian hidup rakyat Malaysia yang berbilang budaya dan kaum.

“Malaysia tidak akan mencapai perpaduan nasional yang tulen sekiranya hak bukan-Muslim tidak dihormati dan jika mereka tidak dibenarkan untuk hidup secara bermaruah seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya. – Roketkini.com