Wawancara

Hannah – Speaker untuk semua (Bahagian II)

Nama Hannah sedikit meletup ekoran keputusannya membenarkan usul yang cuba dibawa Umno didebatkan di sidang DUN Selangor. Speaker wanita pertama negara ini diasak kanan-kiri akibat keputusannya itu yang disifatkan ramai pihak sebagai ‘bermain api’. Namun wanita ini tetap hati dan berpendirian tegas bahawa sebagai speaker, beliau harus adil dan membenarkan demokrasi berfungsi secara adil.

Ini bukan pertama kali Hannah membenarkan usul pembangkang yang dirasakan beberapa teman-teman di kalangan Pakatan Rakyat sebagai ‘bermain api’. Sebelum ini Hannah turut pernah membenarkan usul Adun BN Sungai Panjang Budiman Mohd Zohdi supaya DUN menyatakan pendirian terhadap Comango.

Usul tersebut kemudiannya dibahaskan di dewan dan selanjutnya ditolak.

hannah 8“Orang kita memang sedikit tidak senang dan bertanya kenapa saya benarkan usul itu. Saya mahu beri mereka ruang untuk yakinkan dewan. Adun-Adun juga saya rasakan cukup matang untuk membahaskan usul tersebut, yang akhirnya ditolak,” jelasnya.

“Kita mahu perbahasan berlangsung secara matang. BN ada pendapat mereka, Pakatan juga ada pendapat mereka,” tambah Hannah lagi, sambil berkata bahawa parlimen pun tidak pernah berbuat perkara yang serupa.

Baginya, Selangor sebagai salah satu negeri Pakatan Rakyat seharusnya menunjukkan tauladan dalam tatacara kepimpinan dan pengelolaan negeri, dan Dewan Undangan Negeri berada di baris depan sebagai penanda aras keterbukaan dan demokrasi yang direncanakan Pakatan Rakyat.

Apa lagi yang dibuat DUN Selangor?

DUN Selangor turut mempunyai sembilan buah jawatankuasa tetap, empat daripadanya dipengerusikan Hannah; iaitu Jawatankuasa Peraturan Tetap, Jawatankuasa Hak dan Kebebasan, Selcat dan Pengurusan Dewan. Selebihnya adalah jawatankuasa pilihan khas Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Pejabat Tanah, GLC, jawatankuasa Kira-kira Wang Awam dan jawatankuasa Pembasmian Kemiskinan.

Pembangkang di Selangor turut diberikan peranan untuk dimainkan. Namun apa yang lebih menarik ialah, di bawah Jawatankuasa Peraturan Tetap yang dipengerusikan Speaker ada usaha untuk menetapkan ketua pembangkang sebagai pengerusi jawatankuasa kira-kira wang awam.

Ini dahulunya pernah cuba dilakukan sewaktu Saudara Teng Chang Khim menjadi Speaker, namun Umno menolak. Kini Hannah cuba untuk menjadikannya kewajipan pihak pembangkang melalui undang-undang.

“Saya lakukan ini kerana saya berpendapat ini adalah amalan yang baik yang sewajarnya dijadikan undang-undang,” ujar bekas peguam lulusan sebuah universiti Australia ini.

Masa depan Selangor dan Pakatan Rakyat
“Saya rasa kita tidak boleh mengambil mudah amanah yang diberikan, apatah lagi sokongan yang diberikan oleh rakyat,” ujar beliau sambil menegaskan bahawa konsep pemisahan kuasa legislatif dan eksekutif harus diperjelaskan demi memastikan keyakinan rakyat terhadap Pakatan Rakyat tidak luntur.

Barangkali hanya di Selangor, Menteri Besarnya, Tan Sri Khalid Ibrahim, beserta ahli jawatankuasa Selcat sendiri, Mohamed Azmin Ali, dipanggil ke pendengaran awam sebagai saksi sewaktu kemelut PKNS awal tahun ini.

“Ini menunjukkan yang kita tidak berat sebelah dan kita mahu tegakkan kebenaran – supaya orang ramai mengetahui apa yang benar,” tegas beliau yang awal minggu ini menolak semua sepuluh soalan DUN yang diberikan Adun Kajang Datuk Seri Dr Wan Azizah, atas alasan teknikal. Wan Azizah adalah Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR).

hannah 6Mungkin juga hanya di Selangor, pejabat Speaker menyediakan khidmat penyelidik untuk digunakan semua Adun tanpa mengira parti. Menurut Hannah, ini dilakukan demi memperbaiki mutu perbahasan, selain memberdayakan para wakil rakyat Selangor. Meski sekadar tiga orang, ia langkah yang cukup baik dan wajar dipuji.

Hannah melihat Selangor mempunyai banyak lagi ruang untuk diteroka dan diperbaiki, terutamanya badan eksekutif negeri yang baginya kerap kali dilanda pelbagai kontroversi. Namun katanya banyak hal yang timbul boleh diselesaikan sekiranya pendirian yang tegas dan jelas diambil selain menunjukkan kepimpinan serta iltizam politik yang kuat.

Badan legislatif Selangor juga tegas dengan badan eksekutif Selangor, dan back-bencher DUN Selangor juga bukan jenis yang berdiam diri dan berfungsi sebagai Adun ‘rubber-stamp’ semata-mata.

“Kalau anda lihat, DUN Selangor adalah sidang yang mempunyai semangat tersendiri. Kadang-kadang kita boleh sedikit terkeliru kerana kita pun tidak pasti siapa dia pembangkang dalam dewan.

“Fitrah back-benchers Selangor, mereka kerap kali bangkit membantah atau menegur pihak eksekutif yang juga adalah orang Pakatan, manakala pembangkang dari kalangan BN sekadar duduk dan menonton,” ujarnya.

Seperti beberapa pihak lain, Adun Subang Jaya ini juga berpendapat kuasa mentadbir terlalu berpusat kepada Menteri Besar. Meski Selangor mempunyai banyak anggota exco yang cekap, mereka memerlukan ruang dan kepercayaan untuk melaksanakan tugas selain peruntukan kewangan untuk melaksanakan agenda portfolio masing-masing.

“Kita harus bergerak lebih cepat,” katanya.

“Kekalnya kita sebagai pentadbir, bergantung kepada sama ada rakyat mahu kita atau tidak. Jadi kita harus terus bekerja keras, dan rakyat kemudiannya harus membuat keputusan sama ada kita masih relevan atau tidak,” tambahnya lagi, mengakhiri perbualan. – Roketkini.com