BATU GAJAH, 21 JUN: Ahli Parlimen DAP Batu Gajah V Sivakumar menyelar tindakan tidak berperikemanusiaan Pejabat Tanah dan Daerah Kinta yang memaksa petani Kampung Baru Chenderong supaya mengosongkan tanah mereka dengan segera.
Beliau berkata, tindakan pengusiran ini amat tidak wajar kerana para petani telah mengusahakan tanah sejak puluhan tahun.
“Ada di antara para petani di sana yang telah mengusahakan tanah berkenaan selama lebih 65 tahun, tapi tiba-tiba menerima notis mengejut daripada pejabat tanah pada 23 Mei lalu.
“Tindakan ini adalah salah sama sekali, kalau mahu laksanakan pembangunan sekalipun mengapa tidak disediakan terlebih dulu tanah gantian supaya kegiatan para petani tidak tergendala?” ungkit beliau.
Timbalan Pengerusi DAP Perak itu berpandangan bahawa langkah menjaga maslahat petani terbabit adalah penting bagi menjayakan hasrat kerajaan untuk menggiatkan lagi sektor pertanian negara.
Beliau bersama Ahli Parlimen Kampar Dr Ko Chung Sen pagi ini telah melawat tapak tanah berkenaan dan mengadakan perbincangan bersama para petani.
Sivakumar menegaskan bahawa beliau akan merujuk permasalahan itu kepada Pejabat Tanah dan Daerah Kinta dalam tempoh terdekat untuk memastikan hak kepentingan para petani terbela dan tidak dirampas sesuka hati.
“Kami akan membuat tindakan susulan selepas ini setelah maklumat dan pengesahan berjaya diperoleh dari pejabat tanah,” katanya. -Roketkini.com