Rencana

GST dan Budaya BN Berbelanja

belekBelek punya belek portal-portal berita, ada satu berita betul-betul menarik perhatian. Berita tentang kemungkinan elaun boleh dinaikkan. Bukanlah sebab elaun Tukang Belek ini bakal naik maka berita itu menarik perhatian, tetapi sebab Tok Jib dah cerita tentang elaun penjawat awam bolehlah “dipertimbang untuk dinaikkan.”

Betul, cerita kelebihan demi kelebihan yang penjawat awam dapat itu cerita biasa. Tapi yang ini istimewa sebab ada kena-mengena dengan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Laporan Sinar Harian menyebut, “Pertambahan hasil daripada pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) akan membolehkan kerajaan menimbang pelbagai permintaan, termasuk kenaikan elaun penjawat awam.”

Ini mengingatkan Tukang Belek pada satu berita yang pernah dibelek suatu masa dahulu. The Star pada November 2013 pernah melaporkan berita dengan tajuk jelas, “Najib: It’s either GST or facing bankruptcy (Najib: Sama ada GST atau berdepan muflis)”.

Sering digambarkan keadaan kewangan negara begitu mendesak meninggalkan kita cuma dua pilihan, GST atau dibebani hutang kerana negara perlu terus meminjam. Malah kemungkinan muflis tanpa GST.

Jika cuba dihubungkan antara kenyataan terbaru Tok Jib dengan rayu-rayuannya pada 2013, timbul beberapa persoalan. Apakah maksud tersirat di sebalik semua itu?

1. Adakah elaun kepada penjawat awam itu salah satu beban kepada pendapatan negara sehingga perlu dilaksanakan GST untuk menambah lagi elaun kepada penjawat awam? Ini merujuk kepada kenyataan Tok Jib bahawa GST diperlukan bagi mengurangkan beban negara.

2. Apakah elaun itu sebenarnya bukanlah keperluan mendesak, cuma Tok Jib bercadang menggunakan duit daripada kutipan cukai itu untuk ‘membeli jiwa’ para penjawat awam?

GST sering digambarkan sebagai penyelamat negara, tetapi setakat dilihat ke arah mana pendapat dari GST itu akan pergi, Barisan Nasional (BN) masih berbelanja dengan cara lama.

Sebab itu kalau berbincang tentang GST ini, takda guna kita berpusing di alam teori sama ada cukai itu bagus atau tidak, tanpa mengambil kira bagaimana budaya berbelanja pihak yang bersungguh benar mahukan GST.

Yakinkah saudara dan saudara pada budaya BN membelanjakan wang negara?