Berita

Projek Janakuasa A4: Peluang tunjuk komitmen kepada tender terbuka – IDEAS

KUALA LUMPUR, 24 JUN: Bidaan pembinaan loji janakuasa Track A4 perlu dibuat semula menerusi tender terbuka oleh Suruhanjaya Tenaga selepas YTL Corporation mengambil keputusan menarik diri daripada projek itu.

Pengarah Eksekutif Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS) Wan Saiful Wan Jan berkata, pengunduran YTL itu tidak seharusnya menyebabkan projek itu dianugerahkan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) seperti dicadangkan sesetengah pihak.

“Pengunduran (YTL) itu tidak sepatutnya mendorong projek itu diberikan kepada TNB. Monopoli seperti itu tidak akan memberi faedah kepada pengguna,” katanya.

Menurut beliau, pengunduran YTL itu membuka peluang untuk Suruhanjaya Tenaga mematuhi janjinya untuk melaksanakan proses tender terbuka bagi projek janakuasa demi kebaikan rakyat.

Wan Saiful memetik kajian Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) awal tahun ini bertajuk ‘Reforming Peninsular Malaysia’s Electricity Sector’ yang menunjukkan bahawa persaingan pembidaan projek tarif loji gas telah membawa kepada penurunan tarif yang sepatutnya memanfaatkan pengguna elektrik di rumah.

“Desakan agar projek janakuasa diberikan kepada satu syarikat sahaja bertentangan dengan Model Ekonomi Baru (MEB) dan hanya mengembalikan kita kepada amalan monopoli masa lalu. Kita tidak boleh membiarkan tadbir urus dijalankan secara samar kerana ia akan menyebabkan kronisme terus berlaku,” katanya lagi.

Pada 18 Jun lalu, YTL menarik diri daripada projek kontroversi itu dengan alasan “mengelak kesangsian terhadap komitmen tadbir urus dan ketelusan kerajaan.”

Suruhanjaya Tenaga menganugerahkan projek itu kepada konsortium yang dianggotai YTL, TNB dan SIPP Energy secara rundingan terus.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua mengecam Suruhanjaya Tenaga yang tidak memberikan projek itu secara tender terbuka, dan menyifatkan badan itu memanipulasi proses penganugerahan agar memihak kepada syarikat tertentu.

“Projek 4A bukan saja dirunding secara terus, malah termanya juga samar-samar, tidak spesifik dan disediakan secara tergesa-gesa. Lebih buruk lagi, perjanjian konsortium antara YTL, TNB dan SIPP Energy – syarikat yang dikaitkan dengan Sultan Johor – masih belum selesai.

“Ini menunjukkan Suruhanjaya Tenaga memanipulasi proses penganugerahan keseluruhan untuk memihak kepada syarikat konsesi tertentu dengan tidak mengambil kira prinsip ketelusan, tadbir urus yang baik dan tender berdaya saing,” katanya dalam satu kenyataan yang dibuat pada 20 Jun lalu. – Roketkini.com