Berita

Kurangkan kerenah birokrasi untuk bantu warga OKU

KUALA LUMPUR, 25 JUN: Institusi agama seperti Pusat Zakat atau agensi kerajaan lain seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat wajar melakukan perubahan dari sudut dasar dan pelaksanaan bagi mengurangkan kerenah birokrasi dalam usaha meningkatkan kebajikan Orang Kelainan Upaya (OKU).

Pengerusi DAP Pahang Tengku Zulpuri Shah Raja Puji berkata, isu sekitar kebajikan OKU di negara ini takkan selesai selagi tidak ada perubahan sikap di kalangan kakitangan kerajaan kementerian atau agensi kerajaan berkaitan.

“Pusat Zakat, JKM, agensi kerajaan serta NGO perlu duduk bersama berbincang supaya boleh bekerjasama, mengurangkan birokrasi serta kerja-kerja pentadbiran yang bertindih.

“Mereka mesti meyakinkan rakyat bahawa kerja-kerja ini selain dituntut oleh Al Quran, bahkan mengajar dan mendidik rakyat supaya menjadi masyarakat penyayang,” katanya kepada Roketkini.

Beliau merujuk kes melibatkan OKU terlantar Muhammad Firdaus Dullah, 15, yang ditemui Jabatan Imigresen Negeri Sembilan di Taman Semarak, Nilai dalam keadaan yang menyayat hati.

Remaja malang itu ditemui dikurung dalam bilik, penuh dengan sampah, najis dan tanah, manakala tubuhnya terlalu kurus dipercayai akibat kekurangan zat makanan.

Terdahulu dalam laporan Sinar Harian, Pensyarah Sains Politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Dr Maszlee Malik menyarankan Pusat Zakat menubuhkan pusat peduli Orang Kurang Upaya (OKU) bagi membela nasib golongan tersebut.

Dr Maszlee membandingkan Malaysia dengan sistem kebajikan di Eropah di mana ibu bapa yang memiliki anak OKU mendapat pembelaan dan jaminan kehidupan baik melalui sistem sokongan pendididkan dan kerjaya.

Dalam pada itu, Tengku Zulpuri yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri DAP Mentakab berkata masyarakat juga wajar mengambil tanggungjawab sosial dengan menjadi sebahagian dari sistem sokomgan dengan mengambil tahu, melapor dan bertindak segera sekiranya terdapat pengabaian, penderaan atau pengurungan OKU.

“Kes OKU di Negeri Sembilan ini boleh kita kaitkan dengan masalah hubungan dalam masyarakat yang semakin terhakis. Ada sesetengahnya pula berasa malu mempunyai keluarga OKU.

“Pendidikan kepada orang ramai untuk melakukan kebajikan harus dibuat agar mereka faham bahawa OKU tidak pernah minta dilahirkan begini.

“Sesetengah masyarakat pula masih lagi menebal dengan sikap perkauman tanpa mahu mengambil peduli hal-hal jiran tentangga,” kata Tengku Zulpuri menyelar sikap pasif sebahagian anggota masyarakat berdepan isu OKU.

Tambahnya, sekarang adalah masa kepada anggota masyarakat di negara ini memulai pendekatan baru untuk membina masyarakat yang lebih prihatin tanpa mengira agama atau bangsa. – Roketkini.com