KUALA LUMPUR, 27 JUN – Perdana Menteri Dato Seri Najib Razak bukan sahaja gagal menjelaskan kenyataannya menggalakkan Umno mencontohi militan Islamic State in Iraq & The Leviant (ISIL), malah menimbulkan keraguan bahawa beliau pengagum kumpulan tersebut.
Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dalam ulasannya menyifatkan Najib barangkali pengagum rahsia ISIL, walhal Presiden Umno itu pada masa sama mahu dilihat sebagai pemimpin moderat.
“Penjelasan Jabatan Perdana Menteri (JPM) bahawa kenyataan Najib Razak berkaitan ISIL dikutip di luar konteks membangkitkan lebih banyak persoalan berbanding jawapan
“JPM tidak pula menunjukkan bagaimana kenyataan Najib itu terkeluar dari konteks, malah JPM juga tidak cuba meletakkannya pada konteks yang betul,” kata Kit Siang dalam kenyataan.
JPM dalam kenyataan kelmarin tidak menguraikan kekeliruan yang timbul setelah Najib dilapor menjadikan kumpulan militan ISIL sebagai contoh untuk menjadi ikutan Umno.
Tindakan Najib memuji dan mengagumi militan ISIL memalukan bagi seorang pemimpin negara yang mendakwa mengamalkan wasatiyah, menolak keganasan, serta ekstremisme politik dan agama.
Najib, pada majlis makan malam ulang tahun ke-20 Umno Cheras dilapor berucap mengagumi militan ISIL yang menurutnya berjaya menumpaskan tentera Iraq walaupun berjumlah kecil.
ISIL yang kini bergiat dalam pelbagai aktiviti ketenteraan dan militan di Timur Tengah sebelim ini merupakan sebahagian daripada perkumpulan Al-Qaeda.
Namun Al-Qaeda sendiri menjauhkan diri daripada ISIL lantaran kumpulan itu dilihat terlalu bergaris keras. – Roketkini.com